KEADAAN trafik lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran plaza tol Seremban mulai perlahan berikutan orang ramai mula pulang ke ibukota selepas cuti umum sempena perayaan Hari Natal. FOTO Iqmal Haqim Rosman
KEADAAN trafik lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran plaza tol Seremban mulai perlahan berikutan orang ramai mula pulang ke ibukota selepas cuti umum sempena perayaan Hari Natal. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Oleh Garret Dawum


Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan sesak setakat 12.30 tengah hari ini berikutan kebanyakan warga kota sudah kembali selepas cuti panjang sempena Maulidur Rasul dan perayaan Krismas yang masing-masing disambut pada 24 serta 25 Disember lalu.

Jurucakap Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memberitahu Harian Metro, aliran trafik dilaporkan sesak dari utara dan selatan menghala ke Kuala Lumpur.

"Kawasan yang mengalami kesesakan ialah di Changkat Jering ke Bukit Berapit; Sungai Perak ke Terowong Menora; Ipoh ke Simpang Pulai dan Gopeng ke Tapah serta Bidor.

"Aliran trafik bagi arah selatan ke Kuala Lumpur turut bergerak perlahan di kawasan Senawang ke Seremban dan Simpang Empat ke Pedas Linggi," katanya.

Jurucakap berkenaan memaklumkan situasi sama turut berlaku di Lebuhraya KL-Karak (KLK) apabila aliran trafik ke ibu kota dilaporkan perlahan dari Plaza Tol Bentong ke Bukit Tinggi.

Tambahnya, terdapat satu kemalangan biasa berlaku di KM441.9 arah Kuala Lumpur di Sungai Buaya ke Rawang tetapi insiden itu tidak melibatkan sebarang kecederaan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 1:04 PM