ROHIT membentangkan hasil kaji selidik yang dijalankan INTI.
ROHIT membentangkan hasil kaji selidik yang dijalankan INTI.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman


Perbezaan pendapat dengan majikan antara cabaran yang perlu dihadapi siswazah ketika menyertai dunia kerjaya, sekali gus memungkinkan wujudnya konflik antara kedua-dua pihak.

Justeru, INTI International University and Colleges( INTI) menjalankan satu kaji selidik bagi mengenali kemahiran dan keupayaan siswa, baru-baru ini.

Hasil kaji selidik itu mendapati wujud pandangan berbeza mengenai kemahiran dan keupayaan siswa dengan majikan.

Seramai 600 responden di tiga pusat pemasaran mengambil bahagian dalam kaji selidik itu dengan 79 peratus siswa dan ibu bapa percaya graduan masa kini mempunyai kemahiran insaniah yang baik, namun 84 peratus majikan tidak setuju dengan pendapat berkenaan.

Pihak majikan turut menyatakan, walaupun graduan masa kini mempunyai keputusan akademik cemerlang, mereka tidak memiliki kemahiran insaniah untuk berjaya dalam dunia pekerjaan sebenar.

Antara kemahiran insaniah yang sering ditekankan ialah kemahiran berkomunikasi dengan 55 peratus pihak majikan menganggap kemahiran itu sebagai keutamaan sedangkan kurang 30 peratus siswa berpendapat kemahiran berkomunikasi penting.

Jangkaan gaji juga berbeza kerana siswa dan ibu bapa menjangkakan gaji permulaan RM3,400 manakala purata pasaran antara RM2,100 hingga RM2,500.

Ketua Pegawai Eksekutif INTI Rohit Sharma terkejut dengan hasil kaji selidik itu kerana jelas membuktikan perbezaan persepsi antara pelajar dengan majikan.

“Jurang perbezaan pendapat ini makin membesar dan mungkin memberi impak kepada keseluruhan sistem jika tiada inisiatif untuk mengatasi perkara ini.

“Kita juga bakal menyaksikan lebih ramai graduan muda yang tidak bekerja atau kerap bertukar-tukar kerja.

“Pihak majikan turut terkesan dan mengalami kadar pengambilan pekerja yang tinggi atau langsung tidak berjaya mengambil pekerja sesuai untuk memenuhi keperluan syarikat,” katanya.

Menurut Rohit, INTI bakal mengambil tindakan sesuai bagi memastikan pelajar dan majikan mendapat hasil positif berdasarkan keputusan hasil kaji selidik itu.

Institusi itu turut bekerjasama dengan lebih 400 syarikat dalam menyediakan pelbagai inisiatif strategik agar isu berkenaan dapat ditangani selain memastikan pengalaman graduan lebih kukuh.

Sebanyak 81 peratus majikan memberi keutamaan kepada graduan berkebolehan, manakala 65 peratus memilih mereka yang mempunyai pengalaman praktikal.

Selain itu, 57 peratus majikan berpendapat latihan industri dan latihan sambil belajar antara faktor penting yang diutamakan.

Sebanyak 90 responden daripada kalangan siswa percaya ia meningkatkan prospek bagi graduan untuk mendapat pekerjaan.

Kaji Selidik Industri Vs Graduan INTI itu adalah siri ketiga dalam kaji selidik utama yang dijalankan INTI dalam usaha memastikan ia menjadi Juara Perubahan (Champion of Change) di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:01 AM