Oleh Sudirman Mohd Tahir


Pejam celik pejam celik, tidak sedar rasanya 2015 bakal melabuhkan tirai. Ini bermakna berakhir juga tugas pelakon, Izreen Azminda, 30, selaku pengacara program Mahligai Cinta di TV3.

“Insya- Allah, Khamis ini adalah episod terakhir saya bersiaran dalam program itu. Memang kontrak saya bersama mereka selama setahun.

“Sebelum ini, saya pernah mengacara program lain, tapi Mahligai Cinta adalah program feminin pertama saya kendalikan. Diakui awalnya memang kekok, sebab saya jenis kasar, tapi lama-lama saya jadi biasa,” katanya.

Kenyataan pelakon drama Kerana Terpaksa Aku Relakan ini sekali gus menafikan dia disingkirkan atau menarik diri daripada program berkenaan.

“Saya berasa tidak perlu timbul isu terbabit. Macam saya katakan tadi, kontrak asal memang setahun. Pihak produksi pun sudah ada pengganti dan kini menjalani penggambaran bagi musim baru 2016.

“Sepanjang setahun mengacara, saya terima semua komen dan kritikan negatif daripada penonton. Pada saya itu di luar bidang kuasa saya, tetapi saya terima dengan hati terbuka dan cuba memperbaiki diri,” katanya.

Menurut Izreen, dia tidak menolak sekiranya selepas ini mendapat tawaran mengacara program lain.

“Tak salah hendak mencuba program lain. Mana tawaran yang datang dulu saya terima. Walaupun pengacaraan adalah bidang baru buat saya, tapi ia memang menyeronokkan.

“Bagaimanapun, saya masih menjadikan kerjaya lakonan sebagai keutamaan. Saya takkan tinggalkan bidang ini kerana ia memang minat saya dari dulu,” katanya.

Izreen juga mengakui sepanjang setahun mengacara program itu timbul rasa dalam hatinya untuk berkahwin lagi.

“Tipu kalau saya katakan tak ada perasaan nak kahwin lagi. Apatah lagi setiap kali menjalani penggambaran program itu saya perlu bermadah cinta dan menyaksikan perkahwinan orang lain. Terasa seperti diri sendiri berada di majlis itu,” katanya.

Selepas 10 tahun terbabit dalam bidang seni, Izreen kini berjinak-jinak dalam bidang perniagaan pakaian dan tudung.

“Jenama baju PolkaRepublic dan tudung PolkaRiben ini baru saja dilancarkan. Alhamdulillah, sambutan diberikan sangat memberangsangkan. Sebelum dilancarkan lagi saya menerima banyak tempahan.

“Buat masa sekarang kedua-dua produk ini dijual secara online menerusi laman Instagram iaitu @polkarepublic_ dan @polkariben. Harga ditawarkan adalah mampu milik,” katanya.

Sebagai permulaan, Izreen tidak menggunakan modal yang banyak bagi mengelak sebarang risiko.

“Idea memulakan perniagaan ini daripada saya sendiri. Selepas mendapatkan pandangan daripada rakan, terhasillah dua jenama ini. Apa yang saya jual, saya pakai sendiri.

“Bukan apa, ia lebih meyakinkan saya untuk menguar-uarkan kepada peminat atau pengguna. Kalau tak pakai, macam mana orang nak percaya?,” katanya.

Dalam perkembangan lain, tirai 2016 menyaksikan jadual Izreen padat dengan penggambaran drama.

“Alhamdulillah, tawaran berlakon drama tidak pernah putus. Tanggal 7 Januari nanti, saya akan memulakan penggambaran drama bersiri 20 episod berjudul Ahli Mesyuarat Tingkap (AMT) lakonan bersama Rita Rudaini dan Sherry Al Hadad.

“Pun begitu, saya tetap akan mencuri masa untuk diri sendiri dan anak. Dapat bercuti sekejap pun sudah memadai,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama Kak Marr terbitan Zeel Production.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:01 AM