DANIAL Afif.
Oleh Sudirman Mohd Tahir

Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Itu pepatah paling tepat boleh ditujukan buat pendatang baru dalam bidang nyanyian, Danial Afif yang juga cucu kepada vokalis Kumpulan Heavy Machine, Oli.

Pun begitu, jejaka berusia 20 tahun ini menegaskan populariti yang pernah dikecapi datuknya pada era 80-an bukan laluan mudah untuknya mencipta nama.

“Saya masuk bidang ini kerana dorongan keluarga terutama datuk. Dia banyak beri kata-kata semangat.

“Namun dia tak pernah menggunakan kelebihannya sebagai orang lama untuk bawa atau memperkenalkan saya kepada orang industri. Sebaliknya dia mahu saya berusaha sendiri.

“Dia yakin dan percaya, dengan cara itu saya dapat belajar hidup berdikari. Katanya, daripada situ saya akan faham industri seni tempatan,” katanya.

Sambung Danial, bagi mengasah bakat dia menyertai pertandingan nyanyian.

“Ikutkan boleh saja saya terus menjadi artis rakaman, tetapi seperti yang datuk cakap saya perlu berusaha sendiri. Dia mahu saya bermula dari bawah.

“Saya mula menyanyi secara serius pada usia 13 tahun. Saya menyertai banyak pertandingan nyanyian. Malah saya juga mengambil kelas muzik bagi memantapkan lagi skil bermain gitar,” katanya.

Bukan sekadar mampu menyanyi dengan baik, Danial juga berkebolehan mencipta lagu.

“Bukan mahu mendabik dada, tetapi apabila masuk dalam industri saya ada sedikit kelebihan berbanding penyanyi lain.

“Bakat yang dikurniakan Allah ini saya manfaatkan sebaiknya. Apabila boleh menyanyikan lagu sendiri dan dalam masa sama bermain gitar, ia memberikan kepuasan,” katanya.

Menurut Danial lagi, dia sudah menghasilkan album solo berjudul Warna Cinta yang memuatkan enam lagu.

“Album ini belum pernah diterbitkan secara komersial. Berdasarkan keadaan pasaran semasa, saya mahu setiap lagu dipasarkan dalam bentuk single.

“Terima kasih kepada pihak Universal Music kerana sudi jadi pengedar.

“Lagu yang dimuatkan dalam album ini ada pelbagai genre termasuk jazz, funk, rock, balada dan pop,” katanya.

Tambah penuntut jurusan Muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam ini, dia kini rancak mempromosikan single Jika Sendiri ciptaan Hafiz Ibrahim di bawah syarikat rakaman Sdthdicates Network sejak April lalu.

“Selepas melihat video nyanyian saya di YouTube, saya dipanggil menghadiri uji bakat.

“Saya diminta menyanyikan lagu berjudul Jika Sendiri. Mereka suka dan terus bersetuju mengambil saya,” katanya yang gembira apabila lagu terbabit mendapat maklumat positif pendengar apabila dilancar dan dipasarkan di aplikasi iTunes.

Meskipun perlu bersaing dengan penyanyi kelahiran pogram realiti, dia tidak gentar.

“Bagi saya setiap penyanyi ada keistimewaan tersendiri. Apa yang penting kena pastikan lagu yang kita nyanyikan itu bagus dan menepati selera pendengar, Insya-Allah boleh pergi jauh,” katanya yang memasang impian mencipta lagu untuk Judika dan Syamel AF 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:02 AM