V SHEM (kanan) dan Wee Kiong duduki tempat ke-11 ranking terkini Olimpik.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bersaing sesama sendiri demi negara. Perebutan slot ke Sukan Olimpik Rio 2016 antara pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong satu persaingan sihat yang menarik untuk diikuti.

Ia diakui sendiri legenda beregu lelaki negara, Datuk Razif Sidek yang tidak menyebelahi mana-mana pemain tetapi yakin kedua-dua pasangan itu akan berjuang mendapat tempat ke Olimpik.

“Perjalanan masih jauh namun persaingan ini bagus untuk mereka, ia satu pertarungan sesama sendiri yang sihat. Mungkin bagi Kien Keat-Boon Heong ini penampilan terakhir mereka di temasya itu,” katanya.

Berdasarkan ranking terkini Olimpik, Kien Keat-Boon Heong di tangga ke-12 dengan mengumpul 45,050 mata, manakala V Shem-Wee Kiong yang muncul juara pada Grand Prix Terbuka Amerika Syarikat dua minggu lalu di tempat ke-11 (45,998 mata).

“Kien Keat-Boon Heong mengeluarkan banyak wang tahun ini, mereka masih ada peluang untuk layak jika terus mengumpul mata tahun depan. V Shem-Wee Kiong pula tidak boleh diketepikan yang mana mereka baru memenangi GP Terbuka Amerika Syarikat.

“Bagaimanapun, saya akui Kien Keat-Boon Heong masih digeruni lawan. Nama mereka masih diingati. Permainan mereka masih sama mungkin beza hanya dari bentuk fizikal saja,” kata pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Barcelona 1992.

Kata Razif, Kien Keat-Boon Heong mungkin mempunyai cita-cita lebih tinggi pada temasya kali ini jika mereka layak ke Olimpik iaitu memperbaiki pencapaian 2008 di Beijing (suku akhir) dan 2012 di London (separuh akhir).

“Matlamat mereka kali ini mesti final, seterusnya terarah kepada mengejar kejuaraan. Bukan hanya sekadar mengambil bahagian di Olimpik. Sekarang mereka bergerak secara persendirian mungkin mereka mahu buktikan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta penaja mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:07 AM