X
Adira tetap akan teruskan karier sebagai penyanyi selepas berkahwin. Foto Mohd Adam Arinin
Adira tetap akan teruskan karier sebagai penyanyi selepas berkahwin. Foto Mohd Adam Arinin
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid


Kota Kinabalu: Memegang status sebagai isteri kedua mengajar penyanyi Adira, 24, menjadi lebih sabar dan bertolak ansur.

Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi berkata, perkahwinan itu turut mengajarnya erti mengalah dan kuat untuk meneruskan kehidupan rumah tangga selain tidak akan berputus asa meneruskan karier sebagai penyanyi.

Minggu lalu, Adira mengesahkan dia sudah berkahwin dengan ahli perniagaan Datuk Seri Adnan Abu, 37, di selatan Thailand kira-kira sebulan lalu.

Pengesahan itu dibuat selepas gambar dia bersama seorang wanita dikenali sebagai Datin Red yang juga madunya tersebar di Internet, baru-baru ini.

"Mungkin dengan kontroversi ini, reputasi saya akan tergugat sedikit tapi mungkin ia hanya berlaku sekejap saja.

"Apa yang penting, niat saya tidak mahu menipu dan tidak mahu menyembunyikan perkara ini terlalu lama. Bagi saya berterus-terang adalah jalan terbaik," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui selepas mengadakan persembahan di Konsert Aktif 7 di Perkarangan Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di sini, malam tadi.

Ditanya mengenai hubungan dengan madunya Datin Seri Syarifah Norshafila Hassim atau Datin Red, Adira berkata, hubungan mereka baik dan tiada masalah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:55 PM