ARIENI bersama ibu tersayang Nor Aini.
RUANG santai dan tenang untuk pelanggan berehat.
ANTARA kek yang disediakan untuk pelanggan.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Melepak sambil menikmati secangkir kopi panas bukan perkara baru. Sejak ribuan tahun dulu sudah wujud budaya minum kopi. Bermula daripada warung kemudian ke kafe moden sehingga hotel menjadi lokasi pilihan individu yang gemarkan aktiviti santai dengan alasan melepas lelah selepas bekerja.

Kini cita rasa anak muda semakin berubah. Kafe yang tampil dengan konsep hipster, unik dan ada gaya tersendiri menjadi pilihan anak muda untuk dikunjungi. Selain menyediakan hidangan enak kebanyakan kafe menampilkan dekorasi menarik dengan suasana tenang sekali gus mendorong kedatangan mereka yang gemar berselfie. Tarikan juga sudah tentu kepada anak muda yang menghabiskan banyak masa di luar dan menjadikan kafe sebagai tempat pertemuan.

Bagi mereka yang pernah berkunjung ke kafe Gula Cakery di Shah Alam, pasti merasai perbezaannya. Pemilik kafe, Arieni Adriena Ritzal cuba mengetengahkan konsep kekeluargaan yang dapat dilihat menerusi dekorasi serta susun atur letak kafe.

Di satu sudut terdapat ruang bagi kanak-kanak bermain dilengkapi peralatan permainan yang sudah tentu menggamit naluri si comel untuk berada lama di situ.

Jelas Arieni, kafe itu dibuka atas sokongan keluarga terutama ibu, Nor Aini Mohd Muhid, yang sejak awal memberikan galakan kepadanya untuk meneruskan cita-cita dalam bidang perniagaan. Ia bermula dua tahun lalu dan dia berasakan mewarisi darah ‘tukang masak’ neneknya yang gemar ‘bereksperimen’ di dapur.

Dia masih ingat neneknya mempunyai buku resipi sejak 1940-an dan kemudian ditambah pada era 90-an. Pelbagai resipi tercatat dalam buku berkenaan. Ada yang dikekalkan dan ada juga yang perlukan sedikit pengubahsuaian mengikut cita rasa semasa.

Bagi menzahirkan minatnya ini Arieni membeli bahan membuat kek cawan dan mula menghasilkannya berpandukan buku resipi neneknya. Alangkah seronok kerana apa juga yang dimasak habis dimakan ahli keluarga yang lain.

“Saya terfikir mengapa tidak cuba menjualnya untuk melihat sejauh mana kek cawan saya mendapat permintaan. Selain itu dia menggunakan medium Instagram untuk memasarkannya selain menjual di bazar utama di sekitar Kuala Lumpur. Daripada kek cawan saya mempertingkatkan kemahiran membuat kek red velvet dan mula membuat penghantaran di sekitar Kuala Lumpur serta Shah Alam.

“Tidak sangka sambutan sangat menggalakkan hingga terpaksa meminta bantuan ibu menemani saya menghantar kek kepada pelanggan,” katanya.

Kemuncak populariti kek yang dihasilkan Arieni ialah apabila dia berjaya membuat brownies yang istimewa dan berbeza daripada biasa. Tidak sangka seorang pelanggan begitu teruja dan menggemari brownies yang dihasilkannya sehingga meminta Arieni mengadakan kelas untuk dirinya.

“Permintaannya saya penuhi dengan gembira kerana saya suka berkongsi ilmu dan memasak juga adalah satu ilmu yang boleh dikongsi bersama. Lama-kelamaan ia dihebahkan dan berjaya menjadi ‘viral’ di media sosial. Daripada seorang pelajar bertambah kepada dua, empat sehingga 13 pelajar yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia,” katanya yang juga penuntut jurusan pendidikan awal kanak-kanak di Kolej SEGi.

Sikapnya yang gemar melayan kanak-kanak terbawa-bawa ketika berurusan dengan pelanggan. Pada masa sama dia menunjukkan minat yang tinggi bergelar tenaga pengajar. Dari situ tercetusnya idea untuk mengadakan kelas membuat kek untuk kanak-kanak sebelum membuka kafe bagi membolehkan ibu bapa meluangkan masa sementara menunggu anak habis kelas.

Menu tak berat

Perancangan membuka kafe datang secara spontan. Oleh kerana ibu boleh memasak semua jenis makanan termasuk Melayu dan Barat jadi Arieni meminta bantuan ibunya merancang menu yang akan disediakan. Abang pula memberi idea untuk dekorasi kafe manakala kakak berperanan sebagai pegawai akaun yang bertindak menyelia akaun syarikat.

“Ketika merancang kami bagaikan satu keluarga besar yang ingin melihat kafe ini juga dapat dapat menjadi lokasi pertemuan keluarga. Sebab itu warna pilihan adalah rona ceria dengan menyediakan ruang untuk kanak-kanak bermain. Sofa disediakan untuk berehat manakala meja dan kerusi untuk pelanggan yang serius membuat perbincangan,” katanya yang sangat mementingkan nilai kekeluargaan.

Oleh kerana ia hanya sebuah kafe, jadi menu yang disediakan tidaklah terlalu berat tetapi masih menyediakan hidangan Barat seperti spageti dan masakan Melayu pada hari-hari tertentu. Kek pula disediakan setiap hari.

Antara yang menjadi pilihan adalah creme brulee dan choux pastry iaitu manisan Perancis yang dipelajari ketika menghadiri kelas memasak selama dua minggu di Paris. Kek mangga dan tat keju natela turut menjadi antara kesukaan pelanggan.

“Sebagai tenaga pengajar sudah tentu saya memerlukan lebih pemahaman mengenai ilmu dalam bidang masakan. Saya memilih untuk mempelajari masakan Perancis kerana ia sangat istimewa dan lazat. Saya berguru dengan tukang masak yang mahir dalam pelbagai jenis pastri moden ala Perancis di sana. Ia pengalaman yang sangat berharga,” katanya.

Dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 9 malam, setiap hari Arieni terpaksa menyediakan 14 jenis kek yang biasanya habis dijual. Ramai mengakui keenakan kek mangga, kek coklat dan keju yang terdapat di sini. Sebagai pelajar, tenaga pengajar dan pengusaha kafe, Arieni tidak menganggap tugas itu membebankan kerana dia di kelilingi ahli keluarga yang bersama-sama membantu membangunkan Gula Cakery.

“Walaupun belajar dan berniaga itu dua cabang berbeza namun mempunyai kaitan yang sangat rapat. Sebagai tenaga pengajar saya berurusan dengan kanak-kanak dan mengajar mereka membuat kek. Apa yang dipelajari dalam kelas saya praktikkan ketika berhadapan dengan pelajar kecil saya. Harapnya lebih banyak perkara dapat saya pelajari bagi mengembang­kan perniagaan pada masa akan datang,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 10:59 AM