MANGSA meninggal dunia selepas dibawa ke hospital. FOTO ihsan pembaca
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Nilai: Seorang kelindan lori maut dan hampir putus tangan kiri selepas ditetak seorang lelaki berparang di kedai makan di Pekan Mantin, di sini, malam tadi.

Sumber polis berkata, dalam kejadian 9 malam itu, mangsa, G Kasevan, 20, dari rumahya di Taman Bunga Raya, di sini ke kedai makan itu bersama seorang rakan.

Katanya, ketika mahu menikmati juadah, mangsa didatangi dua lelaki menaiki kereta.

"Sebaik keluar kenderaan, seorang daripada lelaki itu bertindak menyerang mangsa menggunakan parang.

"Suspek yang bertopeng terus menetak mangsa namun dihadangnya menggunakan tangan kiri.

"Suspek bertindak lebih rakus apabila menetaknya di belakang badan serta kepala," katanya.

Menurutnya, sebaik mangsa parah, kedua-dua suspek melarikan diri.

"Mangsa meninggal dunia pada 11 malam selepas dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, dekat sini. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 2:57 PM