Dua penghantar surat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menghadapi tuduhan merusuh menggunakan senjata tajam untuk mencederakan pengurus pentas stesen televisyen berbayar. - Foto GHAZALI KORI
Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Dua penghantar surat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, terhadap pertuduhan merusuh menggunakan senjata untuk mencederakan seorang pengurus pentas syarikat televisyen berbayar dua minggu lalu.

M Tinesh dan M Arvendran, kedua-duanya berusia 20 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Husna Dzulkifly.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Ahmad Hawari Zakaria, 33, dengan tujuan mencederakannya di sebuah kondominium di Jalan Usahawan 2, Setapak, dekat sini, pada jam 11.30 malam, 18 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mengganggu saksi pendakwaan sebelum menetapkan 19 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Ahmad Hawari ditikam di perut selepas berlaku pertengkaran antara mangsa dan tujuh individu di pangsapuri sewanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 7:16 PM