ANTARA persembahan menarik yang ditampilkan dalam Pesta Joget 1 Malaysia 2015.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Ramai dalam kalangan kita yang pernah mendengar lagu popular Seloka Cak Kun Cak nyanyian Tan Sri SM Salim dan Datuk M Nasir, namun kurang memahami maksud sebenarnya.

Tiada pendedahan yang jelas berkenaan perkataan ini dan hanya segelintir pihak tertentu memahaminya.

Cak Kun Cak sebenarnya adalah panggilan kepada tarian dalam majlis keramaian dan ditarikan secara berpasangan atau berkumpulan yang juga dikenali sebagai joget lambak.

Justeru, inisiatif Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (Motac) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, menganjurkan Pesta Joget 1 Malaysia 2015 (PJ1M) yang berlangsung di Jalan Kota, Bandar Hilir, Melaka baru-baru ini wajar dipuji.

PJ1M adalah acara meriah yang memaparkan variasi produk seni persembahan iaitu joget yang terkenal di Melaka sejak zaman-berzaman sebagai elemen utama program ini.

Joget bererti menari atau bertandak dan joget juga salah satu genre tarian dalam kebudayaan Melayu. Tarian joget adalah tarian rakyat (folk dance) yang diterima oleh semua golongan lapisan masyarakat Malaysia.

Kedatangan Portugis ke Melaka yang membawa tarian ‘branyo’ berjaya menjadikan joget diminati oleh masyarakat tempatan ketika itu. Mengambil kira latar belakang tarian joget dan sinonimnya kepada Melaka khususnya, pesta joget ini ditampilkan dalam bentuk baru yang menarik.

Ia diolah menjadikan Joget 1Malaysia melalui pelbagai versi joget dari segi rentak, gerak dan lagu yang dikoreografkan daripada gerak asal sehingga kontemporari dan kreasi baru.

Sebanyak 400 peserta pelbagai kaum terbabit dalam pesta joget ini yang dibahagikan mengikut tujuh segmen menarik. Segmen pertama menampilkan Persembahan Joget Melaka daripada Artis Tari Kumpulan Kesenian JKKN Melaka, Kumpulan Kesenian MBMB dan Briged Seni Melaka.

Segmen kedua pula menampilkan Joget Etnik hasil persembahan joget daripada etnik Melaka Baba Nyonya, Cina,Chitti, India dan Portugis. Di sini sangat terserlah keunikan masyarakat majmuk yang mewujudkan 1Malaysia.

Pada segmen ketiga, penonton terhibur dengan aksi tarian kanak-kanak hasil program Bimbingan Seni Budaya yang dilaksanakan JKKN dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Mereka mewakili generasi muda mengambarkan keceriaan kanak-kanak yang sedang bermain di halaman rumah.

Segmen keempat menjadi antara segmen menarik kerana memaparkan persembahan joget asal (authentic) dan tradisi di Melaka apabila kini joget dilaksanakan secara besar-besaran dalam kalangan golongan veteran.

Ia dimulakan dengan perarakan Lambretta dan Vespa serta golongan veteran lelaki yang mengayuh basikal tua seterusnya diadunkan dengan persembahan joget lambak.

Tidak ketinggalan, Segmen Negeri yang memaparkan variasi joget negeri di Malaysia hasil persembahan kumpulan Kesenian JKKN Negeri Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan ditampilkan pada segmen kelima PJ1M.

Tarian ini turut diserikan dengan persembahan nyanyian Lagu Joget oleh pasangan Haziq dan Hasmidar. Segmen Keenam pula menampilkan persembahkan Joget Antarabangsa daripada pelajar luar negara yang berada di Melaka bimbingan JKKN untuk mempersembahkan tarian joget.

Segmen ketujuh tampil dengan Joget Fusion apabila joget disuntik dengan elemen moden yang diiring masuk dengan skyboard dan kasut roda. Persembahan penutup pula dimeriahkan dengan gabungan persembahan joget oleh semua artis dan orang ramai.

JKKN diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian), Mesran Mohd Yusop yang hadir bagi merasmikan acara yang begitu meriah ini.

Katanya, program ini diadakan merapatkan hubungan bersama komuniti setempat.

“Usaha ini selari dengan falsafah dan fokus asas JKKN iaitu melahirkan masyarakat Malaysia yang berbudaya berteraskan gagasan 1Malaysia. Kami mahu mengajak semua kelompok masyarakat dan peserta untuk sama-sama menghargai dan mencintai seni budaya.

“Program ini turut memberi signifikan besar dalam perkembangan seni persembahan khususnya untuk masyarakat memandangkan joget sudah mendapat penerimaan masyarakat pelbagai kaum sebagai tarian sosial yang popular, unik dan menjadi medium perpaduan di negara kita.

“Pada masa sama ia mengingatkan kita supaya tidak tenggelam dengan tarian sosial dan moden dari Barat seperti ballroom dance, samba, flamenco, belly dance dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 9:17 AM