KELUARGA bahagia Aeril dan Wawa.
KELUARGA bahagia Aeril dan Wawa.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kehadiran cahaya mata pasangan pelakon Aeril Zafrel, 27, dan Wawa Zainal, 24, pada 18 Ogos lalu menjadi pelengkap kepada kehidupan rumah tangga dibina sejak 2012.

Bayi perempuan yang diberi nama Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa berusia empat bulan itu membesar dengan penuh kasih sayang.

Malah, anak sulung mereka, Ahmad Fakharuddin Attar, 2, juga dilihat sangat menyayangi adiknya tanpa ada sebarang rasa cemburu.

“Alhamdulillah hajat untuk mendapat anak perempuan termakbul. Saya sangat gembira kerana sudah memiliki sepasang cahaya mata.

“Selepas ini nak rehat dulu dan fokus untuk membesarkan anak-anak. Mungkin lima tahun selepas itu baru merancang anak ketiga,” kata Wawa.

Menurut Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, dia bersyukur apabila rezeki tidak pernah putus untuk mereka sekeluarga biarpun dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

“Boleh dikatakan kehidupan sekarang sangat mencabar, tetapi Allah SWT itu Maha adil.

“Jika dulu kami berdua, rezeki diberikan itu cukup untuk kami saja. Kini selepas memiliki dua anak, Allah datangkan pula rezeki lain. Alhamdulillah, perniagaan diusahakan berkembang maju sementara Aeril pula tak putus mendapat tawaran berlakon,” katanya.

Kesibukan Aeril itu bagaimanapun tidak membuatkan Wawa mengambil langkah menghalang atau menyekat kerjaya lakonan suaminya.

“Dari dulu sampai sekarang, saya tak pernah cemburu jika dia berlakon dengan sesiapa. Saya okey kerana tahu dia macam mana, cuma dia sendiri yang ada ketikanya memilih skrip yang sesuai.

“Paling penting, dia tahu batasan sesuai dengan statusnya. Begitu juga dengan saya, dia tak pernah letakkan sebarang syarat kalau nak kembali berlakon,” katanya.

Pun begitu, pelakon drama Cerita Cinta Kita ini menyasarkan untuk kembali aktif berlakon bermula Februari tahun depan.

“Selepas habis berpantang memang ada tawaran yang datang, tapi saya terpaksa tolak dengan cara baik. Sebabnya saya nak menjaga anak sendiri selain memberi fokus kepada perniagaan baju dan kanta lekap.

“Memandangkan produk ini baru dilancarkan sebulan lalu, jadi banyak perkara perlu diambil kira. Insya-Allah kalau semuanya berjalan lancar, baru saya boleh fikir nak berlakon,” katanya.

Akui Wawa, kesibukan dia dan suaminya bekerja kerana ini memenuhi impian masing-masing dengan memiliki rumah idaman.

“Bekerja sendiri macam kami memerlukan wang banyak jika mahu membeli rumah. Sebab itu kami kena bekerja keras. Jadi kami dalam proses ke arah itu,” katanya.

Terdahulu, pasangan ini mengadakan majlis akikah dan cukur jambul anak kedua mereka bersempena sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini.

Majlis yang diadakan di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan itu diserikan dengan kehadiran 300 kanak-kanak tahfiz dari Madrasah AFT, Medan Nusari, Bandar Sri Sendayan.

“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Dari awal kami merancang nak adakan majlis ini pada sambutan Maulidur Rasul. Syukur ia berjaya dilaksanakan.

“Terima kasih kepada rakan-rakan dan anak-anak tahfiz kerana sudi menyempurnakan majlis akikah anak kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 9:19 AM