Oleh Riadz Radzi dan Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my


Konsert 30 Tahun Wings: Back To 80’s yang berlangsung di Padang B, Plaza Angsana, Johor Bahru, Jumaat lalu agak berbeza berbanding konsert mereka sebelum ini.

Wings yang kebiasaannya memulakan persembahan dengan lagu berat memilih untuk membawa lagu berentak perlahan iaitu Taman Rashidah Utama dalam konsert berkenaan.

Dari segi teorinya, memulakan konsert rock dengan lagu perlahan mungkin tidak cukup ‘panas’ tetapi Taman Rashidah Utama yang dirakamkan pada 1988 adalah antara lagu ‘anthem’ dalam kalangan peminat Wings.

Jadi, apabila Joe memulakan intro gitar lagu yang pernah bertanding dalam final Anugerah Juara Lagu 1989 itu, ia sudah cukup untuk membuatkan lebih 8,000 penonton ‘panas’ dan teruja.

Konsert makin panas apabila Wings meneruskan persembahan dengan lagu Opera Hidup dan Hukum Karma.

Intro dram Opera Hidup daripada Black sememangnya sudah melekat dalam kepala semua peminat Wings sejak ia mula diperdengarkan 27 tahun lalu.

Begitu juga dengan Hukum Karma yang juga salah satu lagu wajib Wings dalam setiap konsert mereka sejak dulu.

Menonton persembahan Wings sememangnya cukup menghiburkan. Gabungan vokal Awie dengan ‘sound’ gitar, bass dan dram daripada Joe, Eddie dan Black sudah sebati dan mantap.

Malam itu, kekuatan muzik mereka dikukuhkan dengan pemain keyboard jemputan Azizi.

Bukan itu saja, Awie sendiri membuktikan kehebatannya sebagai penghibur. Dia bukan sekadar penyanyi yang hebat dalam membawakan lagu bernada tinggi, tetapi mampu berkomunikasi baik dengan penonton termasuk membuat lawak hingga penonton terhibur.

Awie juga berseloroh dengan berkata bekas penyanyi Wings, Mus tidak dapat bersama pada malam itu kerana ada misi di Myanmar.

“Korang ni aku cakap semua percaya, aku bohong je,” katanya disusuli ‘trademark’nya yang makin terkenal ‘Ini semua Poyo’.

Awie berkata, mereka terharu dan berterima kasih dengan sokongan semua pihak untuk menjadikan konsert yang mendapat tajaan Agetech itu menjadi kenyataan.

“Sebelum ini konsert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dihadiri lebih 25,000 penonton dan konsert ini sebenarnya menjadi tempat kami bersatu,” katanya.

Dalam konsert itu, Wings turut menjemput bekas anggotanya seperti Mel (penyanyi), Syam (gitar) dan Jojet (dram) bersama-sama mengadakan persembahan.

Wings bersama Mel, Syam dan Azlan Typewriter bergabung menyampaikan medley lagu Intanku Kesepian, Biru Mata Hitamku, Belenggu Irama, Potret Monalisa, Misteri Mimpi Syakila, Di Ambang Wati dan Semalam Yang Hangat.

Paling menarik, Jojet dan Black berentap dalam ‘battle’ dram solo. Mereka kemudian bergabung memainkan lagu Rock N Roll Lu Punya Suka dan Jerangkung Dalam Almari.

Malah, Joe turut menonjolkan kehebatannya sebagai antara gitaris rock terbaik tanah air menerusi persembahan solo dalam lagu Gelap Nan Terang.

Terdahulu, dalam konsert yang diadakan sehari selepas Maulidur Rasul itu, Awie turut mengajak penonton berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Wings turut mencipta kejutan apabila membawakan lagu Asli, Tanjung Puteri khas buat peminatnya di Johor.

Secara keseluruhan, Wings membawakan 22 lagu sekali gus mengubat kerinduan peminat mereka di Johor dan Singapura selepas kali terakhir mengadakan konsert di Johor Bahru, lima tahun lalu.

Antara lagu-lagu yang dipersembahkan ialah Orang Kita, Gemala Saktiku, Bazooka Penaka, Kau Masih Berdegil, Aku Pun Tahu, Satelit Puaka, Blues Ular Sawa, Nasib Kita, Kota Kemusnahan, Awang Trasher, Inspirasi Taming Sari, Ingatkan Dia, Sejati dan Peronda Jaket Biru.

Terdahulu, konsert dimulakan dengan persembahan penyanyi jemputan seperti Ito Blues Gang, Mael XPDC, Ronnie, Aweera dan Ucop.

Mereka membawakan lagu Wings seperti Biarkan Berlalu, Kau Bukan Brader, Alam Barzakh, Jerangkung Dalam Almari dan Lena Diulit Intan.

Turut mencuri tumpuan ialah persembahan pemain dram cilik Amira, 12, yang mengiringi pelawak Yasin, Saiful Apek dan Pak Lah menyampaikan lagu Wings iaitu Dari Tuhan dan Anugerah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 9:24 AM
BERSAMA bekas anggota Wings, Mel (dua dari kiri) dan Syam (kanan) serta Azlan Typewriter (empat dari kiri).
SEBAHAGIAN peminat Wings di JB.
GANDINGAN mantap Awie dan Joe menonjolkan persembahan WIngs.