MENTERI Pertanian dan Asas Tani merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Shabery Cheek melawat mangsa banjir di Dewan Sivik Felda Seberang Tayor, Kemaman. FOTO Aswadi Alias
Oleh Isma Ismail


Kuala Terengganu: Empat pusat pemindahan di dua daerah yang terjejas banjir di Terengganu ditutup pada tengah hari ini menjadikan hanya 11 lagi pusat itu masih dibuka.

Di Kemaman, pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Teladas yang menempatkan sembilan orang daripada tiga keluarga dan Balai Raya Kampung Padang (30 orang daripada lima keluarga) sudah ditutup apabila kesemua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Di Dungun pula, Pusat Kraftangan Jongok Batu (41 orang daripada 17 keluarga) dan Sekolah Kebangsaan Minda (12 orang daripada tujuh keluarga) juga ditutup.

Berikutan itu, kini tinggal 680 orang daripada 153 orang masih berada di sembilan pusat pemindahan di Kemaman berbanding 719 orang daripada 161 keluarga pada 8 pagi tadi.

Kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri (JBPN) Terengganu jam 12 tengah hari ini turut memaklumkan, terdapat 180 orang daripada 48 keluarga masih berada di dua pusat pemindahan di Dungun berbanding 347 orang daripada 121 keluarga pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 12:45 PM