SITI Hazwani (tengah) memangku anaknya ketika ditemui dikediamannya. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Keluarga Kapten Hasman Hussin, 34, yang ditemui lemas dihanyutkan air deras di Missouri, Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk tidak pergi ke negara itu, sebaliknya menunggu jenazah dibawa pulang.

Isteri mangsa, Siti Hazwani Ahmad, 29, berkata, dia tidak dapat pergi kerana masih menyusukan anak kembar yang berusia tiga bulan dan perlu menempuh perjalanan yang jauh.

"Saya dihubungi pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan penemuan mayat suami kira-kira jam 8 pagi tadi dan meminta menyediakan pasport untuk dibawa ke AS, tetapi saya tidak dapat pergi.

"Kami sekeluarga sudah berbincang dan sepakat membenarkan ATM menguruskan perjalanan pulang jenazah ke Malaysia. Jenazah dijangka tiba ke Malaysian pada Jumaat ini," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di FELDA Palong 13 di sini, hari ini.

Hasman yang juga pegawai Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bersama empat tentera negara lain menaiki kereta dan dihanyutkan arus deras di Missouri, Sabtu lalu.

Sementara itu, bapa mangsa, Hussin Mat, 60, berkata jenazah anaknya itu akan lebih cepat dibawa pulang sekiranya mereka tidak pergi ke AS.

"Kami perlu menyediakan dokumen perjalanan dan urusan lain yang mengambil masa dua hari dan perlu menempuh perjalanan jauh ke sana dan pulang semula ke Malaysia. Tetapi jika kami tidak ke sana urusan akan lebih cepat," katanya.

Difahamkan, arwah dijangka dikebumikan di kampung halaman di Masjid Tanah, Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 1:13 PM