TIEW (tengah) bersama Mustapha (tiga dari kiri) ketika Pameran Hartanah MyRumah di Balai Berita NSTP, semalam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Pameran Hartanah MyRumah yang dianjurkan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dengan kerjasama Andaman Property Management Sdn Bhd (Kumpulan Andaman) bulan depan bakal menawarkan sehingga 5,000 unit rumah daripada 20 projek pembangunan kediaman di seluruh negara.

Pameran yang berlangsung selama tiga hari bermula 8, 9 dan 10 Januari tahun depan menjadi platform terbaik kepada pengunjung mencari rumah kediaman idaman ataupun hartanah pelaburan pada harga menarik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Andaman, Datuk Seri Vincent Tiew berkata, pengunjung berpeluang melihat sendiri pilihan rumah mampu milik yang dipamerkan di samping mendapat khidmat nasihat dan penjelasan daripada pemaju.

“Pengunjung diberikan khidmat khusus berkaitan pemilihan dan pembelian unit kediaman supaya mereka membuat pilihan tepat mengenai lokasi, kemudahan dan jenis rumah mengikut kemampuan.

“Selain itu, kami yakin tawaran 5,000 unit rumah ini menjadi antara tarikan utama pameran ini dengan jangkaan kunjungan lebih ramai daripada golongan muda,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan New Straits Times, Mustapha Kamil Mohd Janor.

Pameran hartanah MyRumah dijangka menghimpunkan 10 pemaju hartanah tempatan yang menawarkan rumah mampu milik dengan lingkungan harga bawah paras RM500,000 di sekitar Lembah Klang.

Selain pameran daripada 12 peserta pameran terdiri daripada pemaju dan bank, pada masa sama turut diadakan sesi ceramah interaktif berkaitan hartanah meliputi pelbagai topik perbincangan 18 pakar hartanah yang dijemput.

Vincent berkata, pihaknya akan menjadikan pameran hartanah MyRumah sebagai acara tahunan dan bergerak ke setiap negeri di seluruh negara.

“Tahun depan, kami jangka selain di Kuala Lumpur, acara ini diadakan di Johor,” katanya.

Beliau berkata, pengunjung yang menempah unit kediaman lengkap dengan bayaran deposit ketika pameran berlangsung berpeluang memenangi dua tiket penerbangan ke Gold Coast, Australia.

Pameran Hartanah MyRumah diadakan di Public Space, Balai Berita Bangsar NSTP, bermula jam 10 pagi hingga 6 petang pada 8, 9 dan 10 Januari dengan masuk dan parkir kereta percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 6:21 AM