TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Machang. FOTO Syamsi Suhaimi
Oleh Muhamaad Razis Ismail


Machang: Pemandu bas ekspres berusia 26 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Machang, hari ini terhadap tuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian empat penumpangnya di Jalan Timur-Barat, Jeli, pada 25 Disember lalu.

Pengakuan dibuat tertuduh, Muhammad Hazim Hakimi Ahmad Zaki di hadapan Majistret Amal Razim Alias.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian empat penumpangnya di Kilometer 124, Jalanraya Timur-Barat, Jeli pada 1.30 pagi, 25 Disember 2015.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Mahmamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 6 Mac 2016 untuk sebutan semula kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan empat maut manakala 26 cedera selepas sebuah bas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jeli.

Pemandu bas turut disyaki positif methampetamine.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 12:25 PM