FOTO Asyraf Hamzah
FOTO Asyraf Hamzah
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melaksanakan perjanjian jual beli saham dengan menjual 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) kepada Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).

Presiden dan Pengarah Kumpulan Eksekutif 1MDB, Arul Kanda, berkata konsortium yang dikenali sebagai IWH-CREC Sdn Bhd adalah hasil usahasama 60:40 antara IWH an CREC.

"Konsortium terbabit menilai penuh 100 peratus tanah BMSB pada harga RM12.35 bilion dan urusniaga transaksi ini dijangka lengkap menjelang akhir Jun 2016.

"Nilai bersamaan 60 peratus tanah itu adalah RM7.41 bilion dan 1MDB menerima deposit 10 peratus atau RM741 juta selepas pelaksanaan perjanjian," katanya pada majlis menandatangani perjanjian urusniaga di sini, hari ini.

Menurutnya, IWH yang juga pemaju utama bagi bahagian Flagship A Koridor Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Iskandar adalah perkongsian awam-swasta antara Credence Resource Sdn Bhd (60 peratus) dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (40 peratus) yang dimiliki oleh kerajaan Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 1:40 PM