Farah Fariena menewaskan pencabar Vietnam Dao Thi Hong Nhung dalam kategori Class H wanita akhir. Foto NSTP/Hasriyasyah Sabudin

Kuala Lumpur: Skuad pesilat remaja kebangsaan menepati sasaran sembilan emas ditetapkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) pada Kejuaraan Silat Remaja Dunia 2015 berlangsung di Stadium Titiwangsa.

Kejayaan kontinjen negara menambah empat pingat emas pada aksi final silat tanding, malam tadi menyaksikan mereka semakin hampir mencapai gelaran juara keseluruhan edisi ketiga kejohanan itu.

Malaysia sebelum ini mengutip lima emas menerusi - acara silat seni iaitu Ganda Putera dan Puteri, Tunggal Putera dan Puteri serta berpasukan lelaki.

Pada aksi final semalam pesilat muda, Farah Fariena Mohd Zain menyumbang pingat emas keenam selepas mengatasi wakil Vietnam, Dao Thi Hong Nhung 5-0 dalam kelas Puteri H (67-71kg).

Pingat emas ketujuh negara menjelma melalui Muhammad Amirul Faiz Aznan - tidak perlu turun ke gelanggang selepas lawannya Mohammad Humayun Kabir dari Bangladesh menarik diri di saat akhir sebelum bermulanya pertarungan kelas Putera K (79-83kg).

Muhammad Arriyandi Sahriyanto menyumbang pingat emas kelapan untuk kontinjen negara selepas menewaskan pesilat Singapura Nur Hakim Norshamsuddin 5-0 dalam kelas Putera H (67-71kg).

Suzana Tukiran melengkapkan hari cemerlang skuad pesilat muda negara dengan menghadiahkan emas kesembilan mengalahkan pesilat Vietnam, Nguyen Nhat Linh 5-0 dalam kelas Puteri F (59-63kg).

Malaysia dijangka menambah pungutan pingat emas menjelang aksi penutup kejohanan hari ini selepas sembilan lagi pesilat muda negara mara ke final.

Kejohanan disertai seramai 128 atlet, 44 pegawai dan jurulatih dari 12 negara - Singapura, Australia, Azerbaijan, India, Jerman, Bangladesh, Rusia, Vietnam, Korea Selatan, Thailand, Indonesia dan Malaysia selaku tuan rumah. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 2:43 PM