Gua di Khao Khanabnam.
Pasar malam di Krabi.
Akitiviti skuba dan snorkeling berhampiran Pulau Ayam.
Pemandangan menarik Pantai Railey.
Oleh Othman Mamat.

Sawasdee krup! Itulah ungkapan pertama dilontarkan dua gadis manis Thailand yang menyambut ketibaan saya bersama sekumpulan wartawan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Krabi, baru-baru ini.

Ia adalah ucapan selamat datang atau halo yang dituturkan dengan nada dan lenggok bahasa sangat mesra serta manja, sekali gus menghilangkan kepenatan kami selepas kira-kira satu jam 40 minit berada dalam pesawat Malindo Air.

Kami berangkat ke Krabi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, dekat Kuala Lumpur, menerusi penerbangan sulung syarikat penerbangan hibrid yang kini giat melebarkan sayapnya ke destinasi utama di rantau Asean.

Krabi adalah destinasi antarabangsa kedua dikunjungi Malindo Air dari LTSAAS menggunakan pesawat turboprop ATR72 selepas Batam, Indonesia. Syarikat penerbangan itu menyediakan perkhidmatan harian ke Krabi bermula 11 September lalu.

Sejurus meninggalkan balai ketibaan lapangan terbang Krabi, kami dibawa mengunjungi Wat Thum Sir yang sangat terkenal di Krabi dan sering dikunjungi penganut Buddha dari serata dunia termasuk Malaysia. Di dalamnya ada Gua Harimau yang dikaitkan dengan pelbagai sejarah dan kepercayaan penganut agama berkenaan.

Kami kemudian dibawa ke Hotel La Playa yang menaja penginapan untuk rombongan wartawan Malaysia dan kru Malindo Air. Hotel berkenaan terletak berhampiran pantai Aonang yang menghadap Laut Andaman dan terkenal dengan pantai pasir putihnya yang sungguh mendamaikan.

Krabi sememangnya terkenal dengan keindahan pantainya yang sering dikunjungi pelancong dari Asia dan Eropah. Pelancong dari kedua-dua benua datang silih berganti ke Krabi dan Aonang mengikut musim. Pada luar musim atau musim lengang (low season) iaitu antara April hingga Oktober, pusat peranginan itu dipenuhi pelancong dari Asia termasuk Malaysia. Pelancong dari Barat dan Eropah pula membanjirinya mulai November hingga Mac. Setiap tahun, dianggarkan tiga juta pelancong asing mengunjungi destinasi berkenaan.

Menurut pemandu pelancong kami yang hanya mahu dikenali sebagai Matt @ Ahmad, industri pelancongan adalah sumber pendapatan utama kira-kira 400,000 penduduk Krabi dan Aonang selain sektor pertanian dan perikanan.

Justeru, katanya, penduduk sangat mengalu-alukan kedatangan pelancong dan sering diingatkan oleh pemerintah upaya sentiasa menghormati dan melayan pelancong dengan penuh sopan dan tertib bagi memikat hati mereka dengan harapan akan kembali mengunjungi Krabi dan Aonang pada masa akan datang.

Kunjungan ke Krabi tidak akan lengkap tanpa menyertai aktiviti pelayaran dari pulau ke pulau (island hopping) ke empat pulau yang tersohor dengan legendanya tersendiri iaitu Pulau Poda, Tub, Yawasam dan Ayam yang terletak bersebelahan antara satu sama lain serta boleh dikunjungi dengan berjalan ketika air laut surut.

Peminat skuba dan snorkeling pula pasti tidak melepaskan peluang melakukan aktiviti sukan air itu sambil berenang di dalam air laut sejernih kristal selepas mencabar diri mendaki bukit di Pantai Railay dan menjelajah Gua Puteri (Princess Cave) yang dikatakan mempunyai kisah legenda kerabat diraja zaman silam.

Melengkapkan jadual kunjungan, pelancong boleh menyewa bot yang digelar sebagai teksi air untuk menyusuri Sungai Krabi dan mengunjungi pusat komuniti dan eko-pelancongan Khao Khanabnam bagi menyaksikan kesan peninggalan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Sebelum kembali ke jeti, pelancong boleh singgah sebentar di rumah kelong di tebing sungai berkenaan yang turut dilengkapi ruang menjamu selera menyajikan ikan dan hidupan laut segar sebagai hidang tengah hari.

Rugi jika tidak berkunjung ke pasar malam di bandar Krabi yang diadakan pada setiap malam Jumaat. Di sana pelancong bukan saja dapat membeli pelbagai oleh-oleh yang tidak ada dijual di tempat lain, malah berpeluang menikmati pelbagai juadah tradisional yang enak dan lazat dijual dengan harga berpatutan.

Jika masih tidak puas berbelanja di sana, pelancong boleh meneruskan aktiviti waktu malam dengan bersiar-siar di sepanjang Jalan Aonang yang menghubungkan beraneka jenis pusat hiburan dengan pantai Aonang yang damai, tenang dan dingin.

Pelancong tidak perlu khuatir dengan kemudahan tempat tinggal di Krabi dan Aonang kerana kedua-dua destinasi dilengkapi puluhan malah ratusan hotel dan chalet dengan harga yang berbeza mengikut saiz, kemudahan disediakan serta lokasi.

Menurut Matt, kadar sewa bilik hotel biasanya agak murah pada musim lengang dan dengan hanya RM55 (500 baht) semalaman, pelancong boleh menginap di hotel bajet yang selesa, agak luas, lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Bagaimanapun, kadar sewa bilik akan melonjak puluhan kali ganda pada musim puncak iaitu November hingga Mac apabila pelancong dari Barat dan Eropah mula membanjiri Krabi dan Aonang berikut musim dingin yang melanda negara asal mereka.

Soal makan minum juga tidak menjadi masalah kepada pelancong Islam kerana lebih 60 peratus daripada keseluruhan penduduk Krabi dan Aonang beragama Islam. Restoran yang menghidangkan makanan halal boleh didapati di merata pelusuk dengan hidangan masakan Thai terutama tomyam dan kengsom (asam pedas) yang sungguh lazat dan menyelerakan.

Percutian di Krabi dan Aonang pasti menjanjikan kenangan yang amat istimewa, lebih-lebih lagi bagi pasangan pengantin baru yang ingin berbulan madu. Pusat peranginan ini menyajikan pakej lengkap daripada makanan yang enak, persekitaran mendamaikan, pemandangan nan indah, kadar sewa hotel berpatutan dan yang paling istimewa ialah penduduknya bukan saja cantik, malah mesra dan ramah. Sawasdee krup!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 10:02 PM