Oleh Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur: Bekas jurujual kedai telefon di Kompleks Kota Raya didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan menipu pekerja hotel bagi pembelian telefon bimbit membabitkan kerugian RM400, tiga minggu lalu.

Majistret Muhamad Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Lee Wai Chung, 21, sebaik tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu Shamsul Esham Hashim, 41, dalam urusan pembelian telefon bimbit itu yang mana tidak menyerahkan wang berjumlah RM400 kepada tertuduh jika tidak diperdayakan.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, jika disabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 3:37 PM