Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Jurulatih ketiga perseorangan lelaki negara, Indra Wijaya diharapkan mempunyai sentuhan luar biasa apabila memulakan tugas bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bulan ini.

Harapan itu disuarakan bekas jurulatih perseorangan lelaki BAM, Rashid Sidek yang menganggap Indra bakal mempunyai tugas berat terutama dalam mendidik pemain pelapis untuk menjadi pengganti Datuk Lee Chong Wei.

“Beliau (Indra) kena lebih fokus kepada pemain pelapis, yang bakal menjadi pengganti Chong Wei. Beliau harus membentuk pemain untuk mempunyai komitmen tinggi terhadap latihan dan fokus kepada pertandingan,” katanya ketika ditemui media kelmarin.

Jelasnya, jika setakat latihan tetapi tidak mempunyai kualiti ia bakal memberi kesukaran serta masalah kepada pemain itu sendiri terutama dalam mencapai sasaran diletakkan.

“Beliau harus lebih tegas, terutama dari segi disiplin pemain. Menjadikan seorang pemain itu lebih memikirkan terhadap komitmen semasa latihan serta mencapai sasaran pemain itu sendiri.

“Memang besar tanggungjawab itu walaupun tengok dari segi mata kasar melatih pemain pelapis tidak ada tekanan. Sekarang pemain senior semakin berkurangan, kalau mereka ada boleh sedikit sebanyak menutup kekosongan itu. Tapi yang ada hanya Chong Wei. Jadi, Indra perlu cepat menaikkan pemain pelapis agar mempunyai keputusan memberangsangkan,” katanya.

Rashid yang kini berkhidmat dengan Akademi Sports Affairs, mengakui bekas pemain perseorangan Indonesia itu harus diberi peluang terlebih dulu.

Indra bekas pemain kebangsaan Indonesia pada era 1995 hingga 2000 dan antara pemain seangkatan dengannya termasuk bekas juara dunia 1995, Hariyanto Arbi selain Ardy Wiranata yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik 1992.

Beliau juga abang kepada pemenang emas Sukan Olimpik 2000 acara beregu lelaki, Candra Wijaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 7:42 AM