MOHD Asyiek (kanan) gigih membina jenama tempatan bagi bersaing di peringkat antarabangsa.
MOHD Asyiek (kanan) melayan pelanggan di kedainya.
REKAAN pakaian yang ditampilkan melalui jenama Rockstar.
REKAAN pakaian yang ditampilkan melalui jenama Rockstar.
REKAAN pakaian yang ditampilkan melalui jenama Rockstar.
REKAAN pakaian yang ditampilkan melalui jenama Rockstar.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

Tertarik melihat gaya pengusaha di Australia memasarkan perniagaan pakaian ketika menyambung pengajian di negara itu secara tidak langsung mendorong Mohd Asyiek Mat Desa, 35, melahirkan jenama pakaiannya sendiri, Rockstar Clothing.

Impiannya hanya satu, ingin melebarkan sayap jenama itu dan memasarkannya sebagai jenama antarabangsa yang mampu bersaing ke pasaran lebih besar dan diterima di peringkat tempatan serta luar negara.

Biarpun dalam usaha membina perniagaan fesyen, tugas utamanya sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dalam Bidang Reka Bentuk Teknologi Media Baru sejak enam tahun lalu, tidak sesekali dilupakan, malah menjadi fokus utamanya.

Memikul dua impian dalam satu masa bukan sesuatu yang mudah, namun bagi Mohd Asyiek, dia memandang perkara itu dari sudut positif selain menganggap ia sebagai satu bonus untuknya membahagikan waktu mengajar dan perniagaan dengan baik.

Katanya, mendidik tetap menjadi fokus dan karier utamanya apatah lagi bidang berkenaan amat berkait rapat dengan praktikal, ilmu dan amal yang menjadi pegangannya.

“Justeru, ketiga-tiga pegangan itu menjadi amalan saya dalam apa juga yang sedang saya lakukan termasuk dalam bidang perniagaan.

“Bagi saya, peluang untuk membahagikan masa dengan baik dan menguruskan kedua-dua bidang iaitu perniagaan dan mendidik adalah suatu bonus,” katanya yang memaparkan koleksi jenamanya di ruangan Instagram/rockstar_clothing.

Menurutnya, ketika melanjutkan pengajian di di Melbourne, Australia untuk menyambung pelajaran sekitar 2004 hingga 2009, dia mula tertarik dengan cara peniaga di sana memasarkan perniagaan mereka.

Pada masa sama, dia memilih memulakan perniagaan dalam bidang perniagaan kerana berpendapat pemikiran rakyat Malaysia sudah lebih terbuka dan terdedah dalam berfesyen, apatah lagi dalam fasa negara kini menuju status negara maju.

Pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Swinburne University of Technology, Australia ini berpendapat sudah sampai masa untuk jenama tempatan berdiri sama tinggi dan berkembang seperti jenama terkenal dunia yang lain.

“Pada saya, fesyen adalah bidang perniagaan yang sedang berkembang pesat di semua negara. Seperti jenama luar yang sudah diterima ramai, permulaan perniagaan mereka juga berasal daripada operasi sama iaitu pada peringkat tempatan sebelum dipasarkan ke pasaran lebih besar.

“Jenama saya memberi fokus kepada pakaian kasual untuk lelaki dan wanita selain mengetengahkan eksperimen terhadap penggunaan material, teknik dan juga variasi setiap reka bentuk pakaian.

“Selain itu, setiap rekaan dihasilkan dengan nilai naratif di sebaliknya. Konsep yang diberi suntikan ‘keras’ dan ‘jiwa’ menjadi teras dalam penyampaian sesuatu mesej di sebalik penghasilan rekaan baju ini,” katanya.

Demi menampilkan kelainan, koleksi fesyen yang dihasilkannya mengetengahkan keselesaan dengan penggunaan kain kapas, kulit sintetik, vynl, serat mikro dan getah spandeks.

Berpegang kepada falsafah kerja mengikut landasan yang betul dan diredai, Mohd Asyiek yang berasal dari Pulau Pinang, turut menyimpan hasrat membuka butik RockstarClothing di seluruh negara.

Lebih membanggakan, koleksi jenamanya pernah dipilih oleh sebuah syarikat penerbitan rancangan televisyen untuk digayakan peserta pertandingan nyanyian Kilauan Emas.

Selain menghasilkan jenama pakaian sendiri, bapa kepada tiga anak itu turut mempunyai sebuah lagi perniagaan yang memberi fokus kepada penghasilan foto, video dan grafik gerakan yang dipaparkan melalui laman www.asyiek.com.

Demi memberi impak kepada industri fesyen negara, dia bakal menghasilkan lebih banyak koleksi reka bentuk dan fesyen terbaru untuk meluaskan sasaran pelanggan supaya dapat digayakan semua peringkat umur.

“Bukan mudah hendak berjaya dan saya pernah ditipu oleh kilang yang mengeluarkan pakaian dan mengalami kerugian dalam nilai yang agak besar bagi jenama tempatan baru bertapak di Malaysia.

“Pernah juga saya mendapat produk yang kurang berkualiti dan tidak seperti dijanjikan sebelumnya apabila saya tidak boleh mengeluarkan produk itu atas faktor kualiti.

“Beberapa kali juga saya berputus asa pada permulaan perniagaan kerana penerimaan orang ramai terhadap jenama baru apatah lagi Rockstar mengetengahkan rekaan berbeza daripada konsep pakaian jalanan,” katanya.

Bagaimanapun, minat yang sangat mendalam dan kecenderungan terhadap bidang seni reka menguatkan semangatnya untuk terus maju ke hadapan dengan mengharungi segala liku serta cabaran.

Melalui pengalaman sendiri membina jenama sendiri, Mohd Asyiek dapat menceritakan pengalaman dan berkongsi tahap penerimaan reka bentuk dalam industri pada masa kini sekali gus menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus berjuang menaikkan jenama miliknya itu.

“Keluarga dan rakan menjadi tulang belakang dan penguat semangat, sentiasa menyokong ketika waktu susah dan senang dalam perniagaan.

“Memandangkan isteri berada dalam bidang yang sama selain kenal sejak zaman belajar di universiti, dia amat memahami kesibukan saya sebagai pendidik dan menyokong perniagaan saya,” katanya.

Selain itu, Mohd Asyiek turut menggalakkan mereka yang mahu mencuba bidang berbeza supaya tidak sesekali ragu untuk melakukannya dan berusaha bagi mencapai impian masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 11:37 AM