PAMERAN #tanahairku memaparkan koleksi dua dekad iklan musim perayaan dihasilkan PETRONAS.
IKLAN hari raya 2001 yang kreatif menyentuh perasaan penonton dengan mesej dan nilai murni disampaikan.
ANTARA iklan menyentuh perasaan yang membawa tema perpaduan dan persahabatan bertajuk ‘Letchumi & Rokiah’.
PROP dan babak dari iklan musim perayaan turut dipamerkan pada pameran itu.
IKLAN musim perayaan PETRONAS sentiasa dinanti penonton kerana bukan saja kreatif malah sering membawa mesej perpaduan dan nilai murni.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Pasti ramai masih ingat pada iklan televisyen memaparkan tujuh anak lelaki bersama ibu tunggal membuat persediaan menyambut Aidilfitri, beberapa tahun lalu.

Iklan musim perayaan yang dikeluarkan PETRONAS bertajuk ‘7 Sons & A Cow’ itu antara iklan musim perayaan yang dipamerkan di Pameran #tanahairku di Galeri PETRONAS.

Pameran itu yang sedang berlangsung sehingga 7 Februari depan pasti menggamit memori kerana ia bukan saja meninggalkan kesan kepada masyarakat, malah membangkitkan suasana perayaan itu.

Pengunjung bukan saja berpeluang melihat iklan musim perayaan yang pernah ditonton di kaca televisyen, malah dapat mendalami maksudnya dan pembikin di balik tabir.

Pengunjung turut berpeluang melihat prop dan babak dalam iklan berkenaan untuk menggamit memori penghasilan iklan perayaan PETRONAS yang kreatif.

Pameran #tanahairku mempamerkan iklan musim perayaan yang dihasilkan PETRONAS sepanjang dua dekad lalu. Ia bukan saja memaparkan koleksi 20 tahun iklan musim perayaan PETRONAS, tapi memberi peluang kepada orang ramai melihat aspek negara, budaya serta emosi yang diselitkan dalam iklan berkenaan.

Ia juga pameran pertama seumpamanya diadakan di galeri PETRONAS bagi memberi kelainan kepada pengunjung di samping menghargai karya kreatif berkenaan.

Sebanyak 26 iklan perayaan diketengahkan dalam pameran itu termasuk iklan yang pernah memenangi anugerah seperti iklan Tahun Baru Cina hasil arahan Yasmin Ahmad bertajuk ‘Tan Hong Ming, Karate, Race, Kawan Baik’.

Selain itu, antara yang menarik perhatian ialah iklan musim perayaan pertama yang disambut hampir serentak pada Hari Kebangsaan dan Deepavali pada tahun 1996 serta iklan Hari Raya 2006 bertajuk ‘Plastic Bowl’.

Pameran terbuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 8 malam setiap hari kecuali Isnin.

INFO

#tanahairku

- Jumlah karya: 26

- Lokasi: Galeri PETRONAS, Level 3 Suria KLCC, Kuala Lumpur

- Tarikh: Sehingga 7 Februari 2016

- Masa: 10 pagi hingga 8 malam

- Telefon: 03-20517770

- Web: galeripetronas.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 12:14 PM