REKAAN ditampilkan ilham pakaian perkahwinan ditambah elemen perincian sederhana.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Konsep pakaian sedia dipakai semakin diterima ramai kerana ia memudahkan si pemakai melakukan suai padan mengikut cita rasa dan tema majlis yang ingin dihadiri.

Disebabkan permintaan yang semakin meningkat ini, Maznah Hamzah menambah pilihan koleksi pakaian berkonsepkan sedia dipakai di butiknya, Emas Pesona yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam.

“Sebelum ini, saya banyak memberi tumpuan terhadap butik andaman yang menawarkan pakej perkahwinan termasuk pakaian dan dekorasi majlis di Saujana Utama, Sungai Buloh pada 2009.

“Namun, pada Ogos 2015, butik kami berpindah ke Shah Alam dan saya memikirkan rekaan sesuai untuk semua pengunjung. Selepas itu, saya mendapat idea untuk menambah pilihan koleksi pakaian sedia dipakai kepada pelanggan dan pada masa sama masih mengekalkan perkhidmatan solekan atau sewaan serta tempahan pakaian perkahwinan,” katanya.

Ujarnya, kebanyakan rekaan pakaian sedia dipakai yang ditampilkan diilhamkan daripada pakaian perkahwinan yang sesuai dipakai ketika majlis pernikahan atau bertunang.

Dijual pada harga mampu milik, setiap helaian koleksi rekaan yang dihasilkan boleh dipelbagaikan penggunaannya mengikut tema majlis yang dihadiri.

Penambahan elemen perincian yang sederhana tidak menjadikan rekaannya tampak membosankan. Bagi menaikkan seri pada si pemakai, dia banyak memberi perhatian terhadap penggunaan fabrik tambahan yang terpilih.

Fabrik yang dipilih tahan lasak, berkualiti dan tebal seperti net kosong serta renda yang boleh dibasuh menggunakan tangan tanpa perlu ke dobi untuk cucian kering.

Jika berkunjung ke butik ini, terdapat pelbagai rekaan jubah, gaun, blaus, skirt, kardigan dan selendang yang memberi tumpuan terhadap cita rasa Muslimah masa kini, pasti menarik perhatian.

Menariknya, rona yang ditampilkan juga sedikit berbeza daripada biasa kerana koleksinya banyak menonjolkan pilihan warna pastel dan lebih kepada ton pudar. Setiap koleksi yang ditampilkan juga boleh didapati secara dalam talian iaitu di emaspesona (Instagram) dan Emas Pesona (Facebook).

Terima kasih: Solekan: Ati Harun

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 5:00 AM