Dr Mohammad memaklumkan tiga kematian membabitkan kes denggi berlaku di Terengganu dalam tempoh tiga minggu. FOTO Syafiq Ambak
Oleh Isma Ismail

Kuala Terengganu: Jabatan Kesihatan Terengganu memandang serius kes denggi berikutan tiga kematian dilaporkan dalam tempoh tiga minggu termasuk yang terbaru pada pagi tadi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu Dr Mohammad Omar berkata, kes kematian terbaru dilaporkan membabitkan seorang lelaki berusia 65 tahun dari Panji Alam ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menurutnya, lelaki itu dimasukkan ke wad biasa untuk rawatan pada 28 Disember lalu dan kemudiannya dipindahkan ke ICU berikutan mengalami pendarahan teruk.

"Apa yang membimbangkan kami ada beberapa kes lagi pesakit denggi sedang dirawat di ICU.

"Walaupun jumlah kematian yang dilaporkan rendah berbanding negeri di Pantai Barat tetapi ia adalah sesuatu yang serius di Terengganu," katanya ketika sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 7:39 PM