Lee (dua dari kanan) bersama Chuah (dua dari kiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir ketika Majlis Ramah Mesra Bersama MCPF Melaka di Ramada Plaza, Jalan Bendahara, Melaka, hari ini. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Oleh Salman Hamat


Melaka: Kerajaan dicadangkan mengadakan forum dalam masa terdekat bagi meredakan kontroversi dan memberi pemahaman kepada masyarakat mengenai tindakan yang munasabah atau tidak munasabah bagi mempertahankan diri ketika berdepan penjenayah.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata demikian ketika mengulas mengenai kejadian di Terengganu, membabitkan seorang lelaki yang didakwa di mahkamah kerana membunuh seorang dari dua penjenayah yang menceroboh rumahnya.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memberikan penjelasan mengenai undang-undang tetapi orang ramai berasa itu sukar ditentukan.

"Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MCPF cadangkan penganjuran forum ini melalui Jabatan Perdana Menteri, dengan menjemput pakar perundangan daripada Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam dan pihak berkepentingan membincangkan soal seksyen yang relevan dalam Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Lee berkata, melalui forum itu masyarakat boleh faham mengenai tindakan munasabah atau sebaliknya dan kerajaan juga boleh memberikan penjelasan.

"Mungkin ada rumusan sebagai maklumbalas positif kepada kerajaan dan kalau sesuai boleh buat pindaan untuk tenteramkan orang ramai," katanya.

Terdahulu beliau, hadir pada Program Ramah Mesra PDRM dan MCPF, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Melaka yang juga Naib Pengerusi MCPF Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 8:09 PM