Oleh Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: “Ambo hidup lagi boh.” Itu kata kapten Kelantan Mohd Badri Radzi atau lebih dikenali Piya ketika menafikan khabar angin mengenai kematiannya selepas didakwa terbabit dalam kemalangan di sini, semalam.

Khabar yang pantas menjadi viral di laman web sosial itu hanya diketahui Piya, 33, selepas menerima panggilan daripada rakannya kira-kira jam 2.30. Ketika itu, dia sedang tidur di rumahnya di Kampung Baung Bayang, Cherang.

Pemain yang disifatkan sebagai antara tonggak utama Kelantan itu berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai ‘kematiannya’ kerana sepanjang hari hanya berada di rumah dan tidak keluar ke mana-mana.

“Saya terkejut apabila melihat di skrin telefon bimbit terdapat ribuan panggilan tidak berjawab dan selepas itu saya masih lagi tidak henti-henti menerima panggilan dari pelbagai pihak termasuk peminat, rakan sepasukan dan pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang mahu mengetahui perkara sebenar.

“Tidak lama kemudian ibu bapa saya yang keluar membeli barang di kedai berhampiran dilihat bergegas pulang ke rumah untuk melihat saya selepas panggilan mereka juga tidak dijawab kerana saya tidur.

“Saya harap semua pihak bertenang kerana saya selamat dan saya minta supaya jangan ada yang mempercayai khabar angin berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Khabar angin berhubung ‘kematian’ Piya tersebar di Facebook sejak tengah hari semalam dengan memuat naik status ‘Allahuakbar! Innalillah. Kapten Kito x dok doh baru sakni Excident di KB. Harap semua bersabar.’

Turut disertakan, gambar Piya dan kereta berwarna merah yang dikatakan milik pemain tengah Kelantan itu.

Menurutnya, dia tidak pasti motif sebenar pihak berkenaan menyebarkan khabar angin mengenai dirinya kerana setahunya, dia tidak mempunyai musuh.

“Mungkin pihak berkenaan tersalah maklumat kerana kebetulan kereta di dalam gambar itu agak mirip dengan kereta saya.

“Saya berharap peminat tidak terus berkongsi dan menyebarkan perkara itu terutama di laman sosial, sebelum mendapat pengesahan,” katanya

Sementara itu, Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa turut memuat naik status di laman sosial Facebook miliknya dan menyatakan viral Piya maut selepas terbabit dalam kemalangan adalah palsu.

“Berita dan gambar Piya kemalangan adalah palsu...Ini gambar terbaru beberapa minit lalu bersama Wan Badri..dan keretanya.

“Janganlah kita menyebarkan berita karut kerana perbuatan fitnah itu berdosa, semoga Allah mengampunkan kita semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:09 AM