ISKANDAR (tengah) menerima hadiah disampaikan Nolee sambil diperhatikan Shahrin.
Oleh D J Dolasoh


Lenggong: Peserta dari Dungun, Iskandar Fitri, 21, muncul juara Lenggong Archaeology Mountain Bike Trail (LAMBT) selepas mengatasi 157 peserta lain dengan catatan masa 1 jam 8 minit.

LAMBT dianjurkan secara bersama Jabatan Warisan Negara (JWN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Perak, Majlis Daerah Lenggong dan Tourism Perak. Ia diadakan kali pertama di Lembah Lenggong, baru-baru ini.

Kayuhan bermula dari Galeri Arkeologi Lembah Lenggong (GALL), Kota Tampan sejauh 24 kilometer itu merentasi lima kampung prasejarah iaitu Kampung Teluk Batu, Kampung Temelong, Kampung Labit dan Bukit Bunuh sebelum berpatah balik ke GALL dengan meredah hutan, sawah, ladang sawit, bukit dan kawasan berbatu.

Iskandar berkata, cabaran di Lembah Lenggong amat berbeza kerana bukan saja merentasi bukit dan sawah tetapi peserta juga harus mendaki bukit yang penuh dengan batu kerikil.

“Saya memberi lebih tumpuan semasa berkayuh supaya setiap kayuhan tidak sia-sia selain memastikan kaedah terbaik menjarakkan diri dengan peserta lain.

“Sudah lebih 100 kali saya menyertai pertandingan basikal termasuk di Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura dan Lebanon pada 2012 lalu,” katanya yang bekerja di Atlet Bicycle Rapitino, Dungun dan menjuarai 30 kejohanan sejak tujuh tahun lalu.

Tempat kedua menjadi milik Mohd Hafiz Rosli, 27, manakala Mohd Aiman Zharfan Zainuddin, 17, masing-masing mencatat masa kurang daripada 1 jam 20 minit.

Sementara itu, peserta tunggal wanita, Azlin Ismail, 40, berkata dia mampu bersaing kerana tidak mengalami kejang otot selain mengamalkan taktik yang dipelajarinya hingga ke garisan penamat.

“Pada mulanya saya ingatkan ini kayuhan santai tetapi selepas mengayuh sejauh 21km di kawasan Bukit Bunuh ia menjadi sebaliknya. Trek curam, berbatu kerikil dan tajam memang menggerunkan,” katanya berasal dari Ipoh yang baru dua kali menyertai pertandingan.

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:09 AM