Kangar: Seorang bekas kakitangan bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar di sini, hari ini atas 74 pertuduhan membabitkan transaksi wang tanpa lesen dan wang haram berjumlah keseluruhan RM14.25 juta dari 2012 hingga 5 November lalu.

Tertuduh Loh Kong Wong, 49, mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 dan 68 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Berdasarkan enam pertuduhan mengikut seksyen itu, Loh dituduh menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen di beberapa bank di Padang Besar dan Kangar pada 29 Mei 2012 sehingga 8 November 2013 membabitkan transaksi RM8 juta.

Tertuduh meminta dibicarakan atas tuduhan yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Bagi 68 pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, Loh didakwa telah membabitkan diri dalam kegiatan pengubahan wang haram dengan memindahkan wang tunai berjumlah RM6.25 juta hasil aktiviti haram sebuah bank di Padang Besar pada 5 Jun 2013 sehingga 5 November 2014.

Tertuduh didakwa memindahkan wang tunai berkenaan daripada beberpa akaun semasa peribadi miliknya dan beberapa akaun semasa syarikat ke dalam enam akaun syarikat lain.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 2:37 PM