PANASONIC Systems Solutions Asia Pasifik julung kali kendalikan Forum Pemaju Hartanah.
PANASONIC Systems Solutions Asia Pasifik julung kali kendalikan Forum Pemaju Hartanah.

Kuala Lumpur: Panasonic System Solutions Asia Pacific yakin dapat meneroka pasaran Asia menerusi tawaran produk penyelesaian pembangunan perumahan pintar dan mesra alamnya.

Naib Presidennya, Wilfred Wee berkata, Malaysia, Indonesia dan Filipina antara negara di Asia yang pesat membangun dan perlu mengambil pendekatan dalam persediaan menuju ke zaman digital.

Katanya, Panasonic sedar akan cabaran yang dihadapi pemaju dan pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan 22 pemaju di negara ini bagi menghasilkan kaedah pembangunan perumahan baharu yang lebih pintar serta mesra alam.

“Menerusi pengalaman dan kepakaran Panasonic dalam menghasilkan produk serta penyelesaian kediaman pintar, kami percaya ia dapat dikongsi masyarakat di seluruh Asia termasuk Malaysia.

“Malah, kami julung kali mengendalikan Forum Pemaju Hartanah di Malaysia bagi memberi pandangan lebih jelas mengenai rangkaian penyelesaian holistik untuk pembangunan kediaman dan komersial pintar,” katanya kepada media di Forum Pemaju Hartanah di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, forum itu dihadiri lebih 100 pemaju terkemuka di seluruh Asia bagi mecari penyelesaian Panasonic yang boleh diguna pakai dan mampu memenuhi kehendak pemaju secara menyeluruh.

Wee berkata, pihaknya menawarkan rangkaian produk yang merangkumi kelengkapan rumah, keselamatan, sistem pengurusan tenaga dan infrastruktur seperti panel tenaga suria.

Beliau berkata, meskipun bangunan dianggap aset statik, namun menerusi teknologi pembangunan pintar, pemilik serta pengusaha bangunan dapat melihat kecekapan operasi, penjimatan air, tenaga dan penurunan karbon menerusi rangkaian penyelesaian Panasonic.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 6:50 AM