ROONEY (kanan) meraikan gol bersama Martial.
ROONEY (kanan) meraikan gol bersama Martial.

Manchester: Pengurus Manchester United Louis van Gaal memuji Wayne Rooney selepas jaringan kemenangannya ke atas Swansea City melonjakkan pemain itu ke tangga kedua penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab berkenaan.

Rooney menyambut hantaran Anthony Martial ketika perlawanan berbaki 13 minit di Old Trafford semalam untuk memberikan pasukannya kemenangan 2-1, sekali gus menamatkan sembilan perlawanan tanpa kemenangan bagi meletakkan mereka di tangga kelima Liga Perdana Inggeris.

Gol ketiga kapten United untuk musim ini membolehkannya menjaringkan 238 gol bagi mengatasi Denis Law selain mengejar rekod Bobby Charlton dengan 249.

Justeru Van Gaal berharap kemenangan pertama di laman sendiri sejak 7 November lalu akan memperbaiki nasib Rooney dan pasukannya.

Van Gaal yang menyaksikan rentetan terpanjang perlawanan United tanpa kemenangan sejak 1990 berkata: “Sesuatu yang menakjubkan buat pemain berusia 30 tahun.

“Anda perlu katakan sebegitu walaupun sudah banyak permainan yang kami tempuhi, ia masih dianggap satu pencapaian,” katanya.

“Bagi saya apa yang lebih penting dia sudah mula menjaringkan gol.

“Dia menjaringkan gol yang hebat dengan kaki kirinya di belakang kaki kanan, anda tidak boleh bayangkan gol seperti itu. Gol yang sememangnya hebat.

“Semua pemain memberikan yang terbaik dan itu sangat penting bagi seseorang pengurus. Saya harap kemenangan ini akan menjadi titik perubahan untuk pasukan dan juga dirinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:21 AM