Oleh Mohd Hanafis Abdul
am@hmetro.com.my


Muar: Pengunjung di Restoran Al Ziya Fathima di Pusat Perniagaan Mas Jaya, Jalan Salleh teruja apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mencemar duli bersantap pagi bersama mereka, kira-kira 6.45 pagi tadi.

Baginda tiba menaiki kenderaan rasmi dengan diiringi Pegawai Daerah Muar, Ramlee A Rahman ternyata mengejutkan kira-kira 20 pengunjung yang tidak menyangka menerima keberangkatan baginda pada pagi ini.

Sultan Ibrahim juga memesan santapan kegemaran baginda iaitu roti canai kari kambing dan ayam dan minuman halia o ais bagi menikmati santapan baginda bersama rakyat.

Malah tuanku juga turut berkenan meluangkan masa bersembang bersama rakyat termasuk bergambar bersama pengunjung di restoran terbabit.

Selepas berkenan meluangkan masa selama kira-kira 40 minit, baginda kemudiannya berangkat pulang ke IstanaTanjung dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 9:07 AM