Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


Hujan lebat di seluruh negara kebelakangan ini mengakibatkan tanah runtuh dan banjir kilat di beberapa tempat terutama di Cameron Highlands, ibu kota, daerah di sebelah pantai timur dan selatan.

Fenomena ini bukanlah baru kepada rakyat Malaysia, malah banjir kilat di bandar raya seperti Kuala Lumpur sudah menjadi kebiasaan.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), Foon Weng Lian berkata, rakyat hari ini seakan-akan serik untuk mengadu masalah setempat kerana maklumat yang disalurkan tidak sampai kepada pihak berkuasa.

Jelasnya, laporan Malaysia's Second National Communication atau National Communication 2 (NC2) menyebut bahawa kadar hujan di negara ini terutama di pantai timur Semenanjung akan mening­kat 50 peratus untuk beberapa tahun mendatang.

"Selain itu, ia menyatakan bahawa kadar hujan lebat dalam masa singkat akan meningkat dengan mendadak.

"Hujan seperti ini akan mengakibatkan peningkatan banjir kilat seperti yang berlaku kebelakangan ini disebabkan sistem perparitan dan saliran yang tidak pernah dinaik taraf sejak lebih 20 tahun lalu," kata­nya.

Justeru, WECAM membawa cadangan supaya agensi kerajaan dan kerajaan tempatan bertindak lebih proaktif dalam memastikan infrastruktur seperti sistem perparitan dan saliran dinaik taraf, sekali gus berupaya menampung jumlah air hujan yang meningkat mendadak.

"Kita juga menggesa supaya mereka menjalankan kerja membersihkan long­kang secara kerap untuk memastikan tiada bahan tersumbat.

"Pada masa sama, pihak berkuasa perlu menyebarkan maklumat mengenai cuaca semasa melalui media rasmi dan media sosial. Semua maklumat perlulah tepat dan ringkas supaya mudah difahami semua lapisan masyarakat," katanya.

Menyentuh risiko terperangkap dalam banjir kilat, Foon berkata, pengguna jalan raya wajar memberi kerjasama dengan menyalakan lampu kenderaan ketika memandu dalam hujan lebat.

"Harus diingatkan bahawa pemasangan lampu isyarat kecemasan (hazard light) hanya ketika kecemasan atau kenderaan anda berhenti di tepi jalan dan bukannya ketika memandu.

"Pengguna juga diminta mengurangkan kelajuan kenderaan ketika hujan lebat dan penunggang motosikal dinasihatkan berhenti berteduh di kawasan rehat sebelum meneruskan perjalanan," katanya.

Foon berkata, kerjasama orang awam dalam melaporkan kerosakan jalan raya kepada pihak berkuasa, tidak membuang sampah daripada kenderaan dan mengamalkan pemanduan berhemah ketika hujan lebat mampu mengelak ba­nyak kejadian tidak diingini.

"Membuang sampah ketika memandu di jalan raya bukan saja berbahaya kepada pemandu lain, tapi menyumbang kepada masalah longkang tersumbat.

"Ini boleh mendatang­kan ancaman banjir kilat sekiranya berlaku hujan lebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:00 AM