Basyar Mustapha ajak pembaca bersama-sama lebih bijak dalam berbelanja dan mengurus kewangan dalam tahun baru ini.

Bukan mudah menjadi anak muda sekarang ini apatah lagi baru memulakan dunia kerjaya. Tahun 2016 baru sahaja menjelma dan dalam melaksanakan azam tahun baru, pasti ramai yang mengharapkan menjadi lebih baik dari segi kewangan kali ini.

Azam membaiki hal kewangan dan perbelanjaan adalah salah satu azam yang tidak mustahil untuk dilakukan dan salah satu caranya adalah dengan mengetahui bagaimana kita boleh berjimat lantas membuat lebih banyak penyimpanan untuk diri kita.

Buat bajet bertulis

Salah satu cara paling senang untuk mula berjimat adalah dengan mengetahui bagaimana kita membelanjakan wang kita. Tulis belanjawan bulanan kita untuk jelas dalam apa yang patut diutamakan dan mengetahui bagaimana kita membelanjakannya sama ada kita mengikut cara yang sepatutnya.

Guna teknologi

Majoriti belia menggunakan telefon pintar, jadi ambil peluang guna banyak teknologi seperti aplikasi dalam telefon pintar yang boleh menjejak perbelanjaan jika kita mengemaskininya dan memberi ingatan kepada kita tentang apa yang perlu diutamakan. Ada juga aplikasi yang memberi tip bagaimana kita boleh berjimat mengikut sasaran kita. Aplikasi sebegini bagaikan pembantu pengurus kewangan peribadi kita.

Pakai tunai

Apabila berbelanja, bayar dengan wang tunai dan elak gunakan kad kredit. Menggunakan wang tunai menunjukkan kemampuan sebenar perbelanjaan kita dan menggunakan kad kredit akan membuat kita behutang dan caj faedah jumlah hutang akan bertambah jika kita gagal membayarnya. Ini akan membuatkan hutang kita bertambah banyak dan wang akan digunakan untuk membayar beban hutang.

Masak sendiri

Dengan membeli barangan di pasar dengan harga murah dan memasak sendiri kita boleh berjimat puluhan malah ratusan ringgit sebulan. Kita juga dapat mengelak pelbagai cukai dan caj yang dikenakan di restoran sekarang ini, malah kita boleh berjimat lebih lagi jika tinggal bersama rakan atau keluarga kerana kos barang mentah boleh dikongsi bersama.

Bawa bekal

Jangan malu membawa bekal ke tempat kerja. Jika tidak bekal untuk makan tengah hari, mungkin kita boleh membawa bekal untuk minum petang dan air minuman. Membawa roti atau biskut dari rumah untuk minum petang adalah lebih baik daripada minum petang di kafe yang boleh menelan kos sehingga lima ringgit sekali. Bawa air masak dari rumah lebih jimat bebanding membeli air mineral di kedai serba guna yang sememangnya selalu dijual dengan agak mahal

Berjalan atau berbasikal

Cuba kurangkan penggunaan kenderaan peribadi seperti kereta dan motor jika perlu keluar sekitar kawasan rumah atau tempat kerja kerana ia berkos tinggi. Jika ingin ke kedai makan, dobi ataupun melepak di kedai mamak berhampiran rumah, jalan kaki atau gunakan basikal jika ada. Ia mengurangkan perbelanjaan minyak kenderaan.

Bayar cepat

Hutang bank yang lambat dibayar akan menyebabkan caj tambahan dikenakan. Begitu juga dengan bil seperti Astro, elektrik dan air jika dibayar tidak mengikut masa diberi akan dipotong dan untuk menyambung semula kita akan dikenakan caj penyambungan semula. Jadi kita perlulah membayar dalam masa ditentukan.

Jimat penggunaan tenaga

Elak membazir dalam penggunaaan sumber elektrik dan air di rumah. Tutup suis lampu, pengecas gajet jika tidak digunakan. Gunakan air dalam cawan berbanding air yang terus berjalan dari paip ketika membersihkan gigi. Pastikan semua suis ditutup sebelum keluar dari rumah. Langkah ini dapat menjimat puluhan ringgit untuk bil utiliti dalam sebulan.

Timbang dan banding

Dalam membeli sesuatu benda, jangan terus membeli tanpa membuat perbandingan dan petimbangan dengan menyeluruh. Banding harga dan faktor lain di beberapa kedai atau syarikat lain yang menawarkannya dan buat pertimbangan dengan bertanya soalan yang dapat membantu kita memilih dengan harga yang terbaik.

Kemas kini pelan telefon

Syarikat telekomunikasi sering mengadakan promosi dan plan yang berbeza setiap masa dan selalunya ia adalah lebih murah dari masa ke semasa. Jangan lupa untuk semak pelan sendiri dan lain yang sedang ditawarkan. Pelan baru mungkin lebih baik dari pelan yang sudah tiga tahun kita gunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 7:22 AM