Mohamad Zabidi menyempurnakan pelancaran 1Serve di UTC Mini di kompleks perniagaan Keramat Mall, hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Mini di kompleks perniagaan Keramat Mall, di sini, menjadi perintis satu kaunter pelbagai perkhidmatan gabungan antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Pelancarannya disempurnakan hari ini oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Mohamad Zabidi berkata,1Serve adalah satu inisiatif transformasi kerajaan melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bertujuan meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dan sistem penyampaian petugas barisan depan di sektor awam.

Katanya, pembukaan kaunter berkenaan akan memberi lebih kemudahan dan keselesaan kepada pengguna melakukan urusan berkaitan JPN dan JIM di bawah satu bumbung.

"Kaunter 1Serve di UTC Keramat ini menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk pemohonan, penukaran atau gantian kad pengenalan serta perkahwinan dan perceraian.

"Orang ramai juga boleh membuat pemohonan atau pembaharuan pasport antarabangsa Malaysia. Selain itu terdapat juga kaunter bagi serahan MyKad, MyPR dan Mykid," katanya.

Mohamad Zabidi berkata, pihaknya merancang memperluas perkhidmatan kaunter 1Serve berkenaan di seluruh negara secara berperingkat-peringkat selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 3:18 PM