Oleh Nor Akmar Samudin

Kecewa dan terkilan apabila ilhamnya menghasilkan shawl corak bendera Palestin-hitam, merah, putih dan hijau ditiru peniaga lain. Namun, Yatt Hamzah tidak berhasrat mahu menyaman sesiapa kerana baginya selagi dia berbuat sesuatu dengan ikhlas kerana Allah SWT, pasti Dia akan membantu dan melindunginya.

Cerita Yatt, idea untuk menghasilkan shawl Palestin tercetus sekembalinya daripada lawatan ke negara itu pada Mac 2013. Bertujuan untuk mencari dana bagi membantu penduduk di negara itu, dia mengilhamkan shawl itu yang sambutannya amat baik sekali. Kali pertama dia keluarkan 70 helai sebagai percubaan dan dalam masa tiga hari habis dijual.

"Sebahagian daripada hasil jualan daripada shawl itu saya masukkan ke dalam Tabung Palestin. Berikutan sambutan yang hebat, saya terus menambah jumlah shawl sehingga ribuan helai. Bukan saja dibeli orang persendirian, malah syarikat korporat turut menjadi pelanggan saya. Selagi ada yang membeli, selagi itulah saya terus menyumbang untuk Tabung Palestin.

"Melihat sambutan yang bagus, ada pula yang meniru idea saya itu dengan menjual pada harga murah dengan kualiti kain yang amat rendah. Lebih berani lagi, ada peniaga 'online' meletakkan gambar dan 'menjual' nama saya untuk melariskan perniagaan mereka.

"Sudah banyak kali saya menghubungi mereka dan memberi amaran jangan menggunakan nama saya untuk melariskan perniagaan mereka, tetapi mereka degil. Awal tahun ini, ramai betul yang buat shawl Palestin itu dan saya boleh tahu mereka yang memakainya beli saya punya atau daripada peniaga lain berdasarkan kualiti kain dan jahitan," katanya.

Bukan itu saja, kata Yatt atau pemilik nama sebenar Haryati Hamzah, jubah rekaannya juga ditiru peniaga lain dan lebih mengecewakannya, rakannya sendiri yang meniru dan menjualnya.

"Bersusah payah saya mencari ilham, alih-alih mereka tiru macam itu saja. Saya hubungi terus rakan yang meniru itu dan alasan yang diberi dia tak perasan dan tak sengaja. Ada juga yang mengaku kononnya rekaannya sendiri. Kalau betul pun ilhamnya sendiri, takkanlah 99 peratus sama dengan saya punya," katanya.

Guna Facebook, Instagram

Jelas Yatt lagi, biasanya sebelum dia menjual produk tudung atau jubah, dia buat contoh yang digayakannya sendiri dalam Instagram atau Facebook untuk melihat sambutan pengikut dan peminatnya.

"Dari situlah saya boleh tahu mereka suka corak yang mana. Namun selepas rakan yang berniaga jubah ini melihatnya, terus mereka meniru rekaan saya itu. Sebelum saya sendiri sempat membuat dan menjualnya, mereka sudah menjualnya dulu," katanya.

Bagaimanapun, tegas Yatt yang berniaga kerana Allah SWT, walaupun semangatnya hampir luntur, namun dia akan terus memacu perniagaannya dan dia bakal membuka butik di Seksyen 7, Shah Alam dan Johor Bahru, tahun depan.

"Pelanggan saya bukan saja dari negara ini, tetapi dari Indonesia,Singapura dan Brunei yang mana mereka sentiasa melayari Instagram dan Facebook saya," katanya.

Yatt membuka perniagaan pakaian Muslimah dan shawl di bawah label Suci by Yatt Hamzah lebih setahun lalu yang mana nama perniagaan itu sempena nama anak perempuan tunggalnya, Suci Hanania Malika Abdul Mutalib, 5.

Buat masa ini, Yatt ada butik di tingkat empat dan tingkat dua di Bangunan Busana @ Mara, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Dalam usahanya untuk melebarkan perniagaanya itu, baru-baru ini Yatt bertemu dan berbincang dengan Senator Shahanim Mohamad Yusoff yang berjanji membantu usahawan artis mendapat dana perniagaan.

"Saya amat berterima kasih apabila beliau sudi bertemu saya untuk mengetahui masalah artis yang berniaga terutama dalam usaha mendapatkan dana. Saya bercadang mengadakan janji temu dengannya pada masa terdekat ini bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:01 AM