AP

New York: Untuk kali pertama sejak dikaitkan dengan serangan seksual, pelawak terkenal Bill Cosby memberi reaksi terhadap dakwaan itu melalui rakaman video, semalam.

Visual rakaman Associated Press (AP) itu menunjukkan temu bual wartawan mereka bersama Cosby, 77, pada 6 November lalu.

Ketika itu Cosby mempromosi pameran hasil seni dipinjamkan dia dan isteri kepada Institut Smithsonian. Video berkenaan pertama kali diterbitkan majalah Time.

Ketika itu, Cosby ditanya mengenai kecaman pelawak Hannibal Buress dan tuduhan beberapa wanita terhadapnya.

“Saya tidak akan menjawab soalan itu. Saya tidak mahu mencemarkan kewibawaan anda tetapi saya tidak ingin bercakap mengenainya,” katanya.

Apabila sesi itu berakhir - dan tanpa menyedari mikrofon masih ada pada kolar bajunya - Cosby secara bersahaja meminta AP tidak menggunakan kenyataannya sebelum itu.

“Buat apa disiarkan? Bukannya bernilai pun.

“Kami menyangka disebabkan temu bual ini dilakukan AP, anda tidak akan bertanya mengenainya. Pada kami AP cukup berwibawa dan tidak perlu membuka isu ini,” katanya.

Bagaimanapun, AP berkata temu bual itu direkodkan dan pihaknya tidak pernah bersetuju untuk mengelak soalan sedemikian.

Sejak temu bual itu dirakamkan, lima wanita tampil mendakwa mereka mangsa gangguan seksual Cosby, termasuk model Amerika Syarikat, Janice Dickinson.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:02 AM