ANTARA babak dalam The 5th Wave.
BERLAKON dalam The 5th Wave beri pengalaman baru buat Nick Robinson (dua dari kanan).
PENGARAH Blakeson (dua dari kiri) bersama barisan pelakon seperti (dari kiri), Nick Robinson, Chloe, Liev Schreiber dan Alex Roe.
Susunan Michelle Gun


Bayangkan bagaimana keadaan manusia seandainya bumi ditakluk makhluk asing?

Seperti filem fiksyen sains lain, beberapa cara digunakan makhluk asing untuk menyerang manusia.

Namun, berbeza dalam filem The 5th Wave arahan J Blakeson apabila penaklukan makhluk asing yang digelar The Others terhadap bumi ialah menerusi lima gelombang bencana.

Filem adaptasi novel nukilan Rick Yancey itu bakal menemui penonton di negara ini esok.

Ia membariskan pelakon terkenal seperti Chloe Grace Moretz, Nick Robinson, Liev Schreiber dan Ron Livingston.

Filem ini bakal menyaksikan bagaimana Cassie Sullivan, lakonan Moretz membuat persiapan berdepan serangan gelombang kelima serta yang terakhir.

Pada masa sama, Cassie berusaha menyelamatkan adik lelakinya yang diculik makhluk asing.

Robinson dalam temu bual baru-baru ini mengakui tidak pernah membaca buku The 5th Wave, namun mengetahui filem berkenaan adalah adaptasi novel.

“Saya mula membaca siri pertama novel itu selepas terbabit dalam projek pembikinan filem terbabit. Malah, saya turut berpeluang bertemu dengan penulisnya, Rick (Yancey),” katanya.

Pelakon berusia 20 tahun itu memegang watak sebagai Ben Parish, jejaka yang diminati Cassie sejak kecil.

Menceritakan mengenai filem itu, Robinson menyifatkan dunia sudah kucar-kacir dan seolah-olah hampir kiamat.

“Filem itu berkonsepkan fantasi dan sains fiksyen. Saya berharap penonton terhibur dan berpuas hati dengan hasilnya,” katanya.

Menurutnya, sesi uji bakat bagi watak Ben dilakukan ketika dia masih dalam penggambaran filem Jurassic World.

“Saya ke Los Angeles dan bertemu dengan Chloe dan Blakeson. Kemudian saya melakonkan satu babak dan ketika itu semuanya seperti berjalan lancar.

“Peluang berlakon dalam The 5th Wave memberi pengalaman baru kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Blakeson berkata, novel The 5th Wave yang mengisahkan remaja biasa terpaksa mengharungi kesukaran dalam kehidupan sesuai diangkat ke layar perak.

“Ketika mencari ilham menghasilkan karya baru, penerbit meminta saya membaca buku Rick.

“Saya menghabiskan buku itu dalam tempoh seminggu dan tertarik dengan jalan ceritanya. Kemudian saya segera menghubungi penerbit untuk memberitahu persetujuan saya mengarahkan filem itu,” katanya.

Menyedari filem terbabit bakal menerima kritikan daripada peminat novel berkenaan, Blakeson menjelaskan bukan semua babak dapat dimuatkan dan perlu mengikut kesesuaian jalan cerita.

“Saya memahami perasaan peminat kerana pernah menonton filem adaptasi novel dan mendapati ada babak diubah berbanding kisah asal.

“Namun, sebagai pengarah, saya mengetahui memang ada babak dalam novel kurang sesuai apabila dipaparkan ke layar perak.

“Memang semua pembaca ada bahagian kegemaran dalam novel dan saya tidak dapat memuaskan hati semua orang. Dalam filem ini, kami sudah berusaha memastikan jalan cerita mengikuti novel,” katanya.

Enggan membaca novel kedua The 5th Wave berjudul The Infinite Sea, Blakeson menjelaskan dia berbuat demikian kerana tidak mahu mengetahui kisah seterusnya karakter buku terbabit.

“Saya mahu penonton melihat filem ini seolah-olah ia mempunyai kisah sendiri dan bukannya sebagai sambungan kepada sekuel.

“Malah, saya turut meminta penerbit menulis maklumat penting dalam novel kedua supaya tidak bercanggah dalam filem berkenaan,” katanya.

Dalam trailer The 5th Wave, Cassie memberitahu gelombang pertama memadamkan semua tenaga elektrik di seluruh dunia diikuti gempa bumi dahsyat.

Gelombang ketiga pula, manusia yang terselamat dari bencana dijangkiti sejenis wabak penyakit berbahaya.

Kemudian, makhluk asing mula menawan manusia. Bagaimanapun, gelombang lima tidak didedahkan dalam klip video itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 8:10 AM