ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan kereta mangsa yang terjatuh ke dalam sungai. FOTO ihsan Bomba
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Miri: Pasukan penyelamat tidak menemui mangsa dalam kereta yang terjatuh di Sungai Liku, di sini sebaik kereta itu diangkat keluar dari dasar sungai, 10 pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) yang membuat selaman di dasar sungai mendapati pintu kereta di bahagian pemandu tidak terbuka.

Menurutnya, bomba membuat keputusan untuk mengangkat keluar kereta dari dasar sungai sedalam enam meter.

"Sebaik kereta diangkat keluar, pasukan penyelamat mendapati mangsa tiada dalamnya.

"Namun, pintu penumpang depan terbuka dipercayai mangsa cuba menyelamatkan diri ketika kereta itu jatuh ke dalam sungai," katanya.

Farhan berkata, operasi masih diteruskan bagi mengesan mangsa.

Dalam kejadian 8.45 malam tadi, tiga mangsa dalam perjalanan dari Ladang Woodman ke Bandar Miri sebelum kereta dinaiki mereka terjatuh dalam sungai.

Dua mangsa, Jerunsin Ijol, 22, dan Jivean Pilau, 19, menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai sebelum dibantu orang ramai yang melihat kejadian, manakala pemandu kereta, Jenica Igul, 21, masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 12:19 PM