RAJA Zarith Sofiah diiringi Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Wahid Omar (kanan) menyampaikan sumbangan replika cek kepada Mohamad Syafik (kiri) dan Mohd Zaki (dua kanan). FOTO Zulkarnain Ahmad Tajudin
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan peribadi bernilai RM10,000 seorang kepada dua penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menghidap kanser.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh baginda sendiri kepada penuntut tahun dua Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Mohd Khairul Afnan Mohd Zaki, 21, dan penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Automotif), Mohamad Syafiq Zulkefli, 20.

Sumbangan berkenaan disampaikan di Pejabat Naib Canselor UTM Skudai, pagi tadi.

Raja Zarith yang juga Canselor UTM dan Yayasan Tunku Laksamana Johor akan dimaklumkan mengenai perkembangan termasuk keperluan sumbangan yang diperlukan penuntut berkenaan.

Mohd Khairul Afnan disahkan menghidap kanser usus manakala Mohamad Syafiq menghidap kanser testis. Keduanya kini di tahap empat.

Mohd Khairul Afnan tidak dapat hadir kerana dibawa pulang ke Kelantan untuk menerima rawatan di sana dan diwakili oleh bapanya Mohd Zaki Yaacob, 49.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 12:29 PM