SUARA Kak Pah tetap dirindui peminatnya.
Oleh Roslen Fadzil .

Kepulangan secara mengejut Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar ke rahmatullah pada 5 Julai lalu masih lagi dirasai jutaan peminatnya. Sesudah lebih empat bulan pemergian beliau, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengorak langkah memasarkan album konsert solo penyanyi Seri Dewi Malam itu bersama Orkestra RTM dalam satu acara khas di Auditorium Perdana, Angkasapuri, malam esok (Sabtu).

Konsert Eksklusif Datuk Sharifah Aini Bersama Orkestra RTM diterbitkan stesen penyiaran itu pada April 2012 dan rakamannya turut berlangsung di Angkasapuri. Ia diterbitkan khas oleh RTM ketika itu bagi mengenang perjuangan empat dekad beliau dalam dunia nyanyian.

Sebelum itu RTM juga pernah menganjurkan konsert 'tribute' buat bintang tersohor lain seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dan Allahyarham Datuk Ahmad Jais.

Bagi Kak Pah, beliau pernah berkata, Orkestra RTM sememangnya sangat dekat di hatinya kerana pada 1970-an, dia sering membuat konsert jelajah di rantau Asean bersama orkestra itu. Sebelum 2012, kali terakhir Kak Pah membuat persembahan besar bersama Orkestra RTM pada tahun 2000 di Shah Alam.

Apa yang jelas, sokongan yang diberikan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail; Pengarah Orkestra, Datuk Mokhzani Ismail serta konduktor Jimmy Ali membuatkan hati Kak Pah begitu berbunga ketika menyanyi dalam suasana dekorasi yang cantik dalam auditorium itu.

Antara lagu yang didendangkan Kak Pah dalam konsert itu adalah Burung Pungguk, Teratai, Empat Dara, Kau Tinggi Di Awan Biru, Tiada Maaf Bagimu, Hapuslah Airmatamu, Seri Dewi Malam, Setulus Cintamu, Biar Bulan Bicara, Forever And Ever dan Smile.

Malah, emosi Kak Pah tersentuh ketika melagukan Sayang Musalmah kerana terkenangkan arwah ayahnya.

Lagu lain yang turut didendangkan beliau termasuklah Ku Curah Kasih Dalam Lagu, Di Malam Persandingan, Kau Pergi Tanpa Pesan, Surat Dari Seberang, Jangan Tinggalkan Daku, Ingatan Manis Di Bulan September, Bunga Tanjung dan Irama Cintaku.

Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Life Records, Sariah Idris berkata, album itu sangat bermakna kerana ia satu-satunya persembahan terakhir Kak Pah bersama Orkestra RTM sebelum jatuh sakit.

"Ia sudah berada di pasaran sejak kelmarin dan dijual pada harga RM25.90. Namun peminat yang datang ke Angkasapuri malam esok dapat membelinya pada harga istimewa RM19.90 saja. Selain itu, lagu daripada konsert Kak Pah itu juga boleh dibeli menerusi platform digital," kata Sariah.

Konsert Datuk M Daud Kilau menyusul

Malam esok juga, selepas album konsert Kak Pah dilancarkan, Orkestra RTM akan tampil beraksi pula dengan seorang lagi penyanyi veteran tanah air iaitu Datuk M Daud Kilau.

Apa yang membanggakan, inilah rakaman konsert terbesar Raja Gelek Malaysia itu sejak menjadi penyanyi lagu langgam dan asli lebih 40 tahun lalu.

Penerbit Konsert Eksklusif, Datuk M Daud Kilau Bersama Orkestra RTM Haliza Mat Kharsa berkata, konsert itu memang hebat kerana akan menampilkan beberapa segmen menarik yang disusun daripada pelbagai lagu yang pernah dirakam dan dinyanyikan beliau.

"Ada segmen lagu asli, cinta, teladan, dangdut, dakwah dan ala Hindustan. Semua lagu itu pasti akan membangkitkan nostalgia buat peminat setia Datuk M Daud Kilau. Kita juga mengundang artis jemputan seperti Haziq AF, SA Aisha dan pengacara Linda Onn. Malah ada gimik untuk lagu Cek Mek Molek membabitkan pelakon jelita masa kini," kata Liza.

Katanya, orang ramai boleh datang menyaksikan konsert percuma itu dan haruslah berada di dalam Auditorium Perdana sekitar jam 8 malam namun tempat duduk adalah terhad berdasarkan turutan ketibaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:02 AM