Lebah tersangkut dalam tiub peralatan mengukur kelajuan Boeing 737 Garuda menyebabkan penerbangan tertangguh empat jam. - Foto hiasan (nobacks.com)

Jakarta: Seekor lebah menyebabkan satu penerbangan Garuda Indonesia tertangguh empat jam semalam, selepas serangga itu tersangkut dalam satu tiub peralatan mengukur kelajuan pesawat.

Menurut kenyataan Garuda hari ini, juruterbang pesawat Boeing 737 untuk penerbangan dari Sumatera ke Jakarta yang membawa 156 penumpang itu memutuskan tidak berlepas selepas menyedari masalah pada alat kawalan.

“Siasatan mendapati kawalan elektronik enjin pesawat mengalami masalah selepas seekor serangga masuk ke dalam tiub ‘pitot’.

“Sebagai langkah keselamatan, Garuda Indonesia memutuskan menangguh penerbangan itu.” kata jurucakap Garuda, Benny Butarbutar, dalam kenyataan.

Pesawat itu berlepas empat jam kemudian dan selamat tiba di Jakarta.

Ia bukan kali pertama serangga menjejaskan penerbangan. Jun tahun lalu, penerbangan syarikat tambang murah Britain, Flybe, terpaksa berpatah balik tidak lama selepas berlepas seekor lebah tersangkut dalam peralatan. - AFP

nobacks.com

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 4:09 PM