Oleh Nurul Huda Kosnon dan Siraj Zaini dan Nabihah Kamal


Klang: “Saya mahu dia berubah," kata Asmah Mamai,33, ibu kepada remaja perempuan berusia 14 tahun yang mendakwa diculik di rumahnya di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, 27 Disember lalu tetapi akhirnya ditemui bersama teman lelaki di Banting pada 31 Disember lalu.

Remaja itu mengaku bersalah di Majistret di sini, pagi tadi terhadap tuduhan memberi maklumat palsu, manakala teman lelakinya, Gan Chin Teck, 19, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan melarikan remaja bawah umur.

Asmah berkata, dia menyerahkan anaknya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) demi kebaikan anaknya itu.

Katanya, tindakan itu adalah perkara yang terbaik yang harus dilakukan kerana keadaan emosi anaknya yang tidak stabil.

"Benar anak saya bersalah dan dia sudah meminta maaf kepada saya, tetapi lelaki berkenaan harus bertanggungjawab kerana membawa keluar anak saya tanpa izin.

"Saya sudah menyerahkan anak saya kepada JKM kerana mungkin jika dia tinggal dengan saya buat sementara ini akan lebih mengeruhkan keadaan. Emosinya mungkin tidak stabil dan dalam keadaan tertekan, saya risau jika dia memberontak dan melakukan perkara yang tidak wajar" katanya ketika ditemui Harian Metro di pekarangan Mahkamah Klang, pagi tadi.

Asmah hadir di mahkamah berkenaan dan sempat berjumpa dengan anaknya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 8:14 PM
Asmah (dua dari kanan) melihat anaknya dibawa oleh dua pegawai JKM di Mahkamah Klang, hari ini. FOTO Nabihah Kamal.