SEMAKIN ramai lelaki jalani pembedahan kosmetik untuk tampil menarik.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Apabila melihat wanita cantik, pernahkah anda terfikir apakah kecantikannya itu benar-benar asli? Di negara yang terkenal dengan paras menawan seperti di Iran, tetap wujud keghairahan mendapatkan bantuan pakar untuk mengubah penampilan wajah supaya jadi lebih sempurna.

Ketika berbaring di atas meja bedah di sebuah klinik swasta di utara Tehran, Nazanine mendedahkan semua keinginannya. Itu adalah pembedahan ketiga untuk menjadikan hidungnya lebih mancung, keningnya dicacah supaya nampak lebih teratur dan pembedahan sedut lemak di pinggul bagi ‘memperbaiki’ bentuk tubuhnya.

“Wanita berumur 40-an itu mengakui sudah menjalani dua pembedahan hidung dengan doktor lain, tetapi tidak berpuas hati melihat hasilnya. Dia meminta supaya kami menjalankan satu lagi pembedahan pada hidungnya,” kata Dr Javad Amirizad, pakar bedah terkini yang diberi kepercayaan untuk ‘menyempurnakan’ bentuk hidung Nazanine.

Dalam masyarakat Iran yang konservatif apabila semua wanita mesti memakai tudung atau sekurang-kurangnya selendang untuk menutup rambut dan leher apabila berada di tempat awam, pembedahan kosmetik sangat popular. Malah pembedahan hidung dilihat cara terbaik untuk menyempurnakan bentuk aset yang dianggap paling menyerlah pada muka seseorang.

Namun kini keinginan untuk tampil cantik kian meningkat. Dalam dua bilik lagi di klinik milik Amirizad itu, pelanggannya menjalani pembedahan untuk membesarkan payu dara.

Satu lagi prosedur yang tidak kurang popular ialah pembedahan sedut lemak. Bagi wanita Iran, mereka bukan saja kaya, tetapi juga cenderung menjalani prosedur yang kurang invasif untuk tampil lebih cantik.

Suntikan botoks pada pipi atau dahi untuk menghilangkan kedutan, suntikan kolagen pada bibir bagi menjadikannya lebih mungil dan seksi atau cacah kening sebagai pengganti kaedah mencabut atau mencantikkan bentuknya menggunakan benang kini sudah jadi semakin lazim.

Menurut data rasmi, sebanyak 40,000 pembedahan kosmetik dilakukan di Iran setiap tahun, kata Amirizad, yang juga anggota Persatuan Pakar Bedah Plastik dan Kosmetik Iran. Lebih 60 peratus daripadanya ialah pembedahan mencantikkan bentuk hidung.

Namun katanya, angka sebenar jauh lebih tinggi kerana statistik rasmi tidak memasukkan pembedahan dilakukan oleh bukan pakar bedah yang secara tidak langsung mengaut keuntungan daripada desakan naluri masyarakat untuk memperbaiki penampilan mereka.

Di Teheran, amat mudah untuk melihat wanita dan lelaki dengan hidung berbalut tanda mereka baru saja menjalani pembedahan. Trend inilah yang menjadikan Iran kini melonjak ke tangga 10 teratas di dunia sebagai negara paling banyak menjalankan pembedahan plastik.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Pembedahan Plastik Estetika Antarabangsa, pada 2013 Iran menduduki tempat keempat di dunia selepas Brazil, Mexico dan Amerika Syarikat bagi pembedahan hidung.

Bukan untuk wanita saja

Kos untuk pembedahan hidung bermula daripada RM6,500 lebih lima kali ganda gaji minimum di Iran iaitu sekitar RM1,170 sebulan.

Menurut Mehrnaz Mehri, 27, yang bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat perdagangan makanan di Teheran, dia membayar hampir RM7,800 untuk pembedahan hidung. Walaupun lebih mahal, ia dianggap satu pelaburan yang ‘baik’.

“Saya tahu sesetengah pakar bedah yang terkenal mengenakan caj sehingga RM26,000 bagi satu pembedahan hidung yang kecil. Dulu saya tidak pernah terfikir langsung untuk mengubah bentuk hidung, tetapi apabila emak dan kakak menjalani pembedahan hidung, saya terpengaruh untuk turut serta,” katanya.

Selain pengaruh orang terdekat, televisyen juga memainkan peranannya dalam meningkatkan kegilaan terhadap pembedahan kosmetik.

Drama bersiri terkenal Amerika Selatan dan Turki yang ditayangkan di televisyen Iran kerap menampilkan kejelitaan aktres selepas menjalani pembedahan kosmetik.

Saluran 24 jam yang ditonton lebih separuh penduduk Iran memaparkan pelbagai iklan pembedahan hidung, krim melangsingkan badan dan korset untuk merampingkan pinggang.

Tidak cukup dalam negara, warga Iran yang kaya ini juga sanggup terbang berjam-jam lamanya untuk menjalani pembedahan kosmetik, kata Amirizad.

“Kami menerima pelanggan dari Iraq dan Azerbaijan, tetapi kebanyakannya wanita Iran yang tinggal di luar negara. Mereka balik ke sini apabila mengetahui kos pembedahan di Iran jauh lebih murah berbanding di negara Eropah atau Amerika Syarikat,” katanya.

Kini pembedahan plastik tidak terhad kepada wanita saja.

“Dua puluh tahun dulu, hanya lima peratus lelaki yang mahukan pembedahan mencantikkan hidung, tetapi kini jumlahnya sudah mencecah 35 peratus,” sambungnya lagi.

Hidung anak patung

Mostafa Kashani, jejaka berusia awal 30-an adalah seorang daripada lelaki Iran yang menjalani pembedahan ini.

“Saya pernah terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan hidung saya patah. Selepas berkahwin, isteri mendesak saya membetulkan bentuk hidung. Mulanya saya tidak mahu, tetapi akhirnya terbuka hati apabila melihat hidung adik saya selepas dibedah,” katanya.

Amirizad berkata semua itu adalah tanda perkembangan di Iran yang menunjukkan masyarakat sudah mula menerima kemodenan.

Namun bukan semua mengalu-alukan perubahan ini. Ada sesetengah penduduk Iran yang sedih melihat pengaruh dan budaya Barat yang dirasakan sudah terlalu jauh meresap ke dalam hidup masyarakat.

Awal tahun ini, dalam satu laman ‘Iranian Women Up Close’ di Facebook meminta mengikutnya memuat naik gambar hidung mereka untuk menolak definisi cantik selepas pembedahan yang semakin galak dilaungkan.

Beberapa ratus wanita memuat naik gambar hidung mereka di bawah tajuk ‘Gambar Hidung Saya yang Asli’.

Sesetengah wanita yang pernah menjalani pembedahan memahami mengapa perdebatan ini boleh timbul.

Slomaz, 27, contohnya, mahu hidungnya dibedah sejak dia remaja, namun hanya pada usia 20 tahun barulah dia berbuat demikian. Bagaimanapun, dia berkata tidak mahu mengulanginya. Ini kerana bentuk hidung boleh menjadi ciri unik pada seseorang.

“Hidung orang perempuan sekarang semuanya sama - sangat kurus dan kecil, manakala hujung hidung ternaik sedikit, seperti anak patung,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 5:01 AM