Kebanyakan permainan mudah alih ketengahkan konsep kasual. HAZRIL MD NOR seronok mencuba Seven Knights yang kini popular di rantau Asia Tenggara.

Grafik menarik dan gaya permainan berkonsepkan ‘Role Playing Game’ (RPG), siapa tidak terpikat? Itu ciri utama permainan video yang melonjakkan populariti Final Fantasy di seluruh dunia suatu ketika dulu.

Berita baiknya, konsep sama kini boleh didapati dalam permainan mudah alih di pelantar iOS dan Android. Seven Knights antara ‘game’ popular dari Korea Selatan yang menampilkan pelbagai karakter dari pelbagai budaya dan disuntik elemen RPG kegilaan ramai.

Gaya permainannya sangat mudah difahami untuk pemain tegar dan pemain kasual. Pada permulaannya, anda perlu mengawal Evan dan Karin dalam perjalanan mereka menghentikan serangan daripada Kris, seorang daripada Seven Knights.

Mod Kembara membolehkan anda merentasi benua berbeza yang terdiri daripada tiga tahap kesukaran. Seterusnya, anda boleh ‘farming’ (mengumpul duit untuk menguatkan karakter) di setiap peringkat.

Duit diperoleh boleh digunakan untuk meningkatkan kekuatan hero sebanyak lima kali. Ia juga digunakan dalam proses menaik taraf kelengkapan.

Keunikan Seven Knights sudah tentunya dinilai berdasarkan karakter dan kuasanya. Dari lima jenis peranan berbeza seperti pembantu, penyerang, ‘universal’, kuasa sihir dan pertahanan, mereka turut dilengkapi kuasa pasif yang meningkatkan pertahanan pasukan ataupun melemahkan kekuatan pasukan pihak lawan.

Lebih menarik, hero boleh dinaik taraf mengikut elemen masing-masing diperoleh dalam ‘daily dungeon’. Gandingkan hero bersama elemen sama bintang untuk menambahkan bintang hero itu. Untuk mendapat hero, gabungkan dua hero sama bintang atau beli dari ‘store’.

Seven Knights turut memperkenalkan mod arena dan ‘Castle Rush’. Dalam mod arena, anda boleh berentap bersama pemain lain di seluruh dunia.

Mod ‘Castle Rush’ pula membolehkan anda merebut gelaran juara menakluk daerah tertentu bagi kesatuan anda. Seterusnya, mod ‘Celestial Tower’ membolehkan anda memenangi hadiah tertentu mengikut tahap kesukaran yang sehingga kini mencapai peringkat ke-100.

Jika anda ingin menambah koleksi hero dengan segera, boleh gunakan kemudahan transaksi mikro untuk mendapatkan delima. Selain itu, transaksi delima boleh digunakan untuk membeli kelengkapan yang berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 8:00 AM