Ganja yang dirampas. FOTO L Manimaran
Ganja yang dirampas. FOTO L Manimaran
Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Tiga lelaki termasuk seorang warga Thailand ditahan awal pagi tadi selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar bandar raya ini.

Dalam serbuan 3.30 pagi itu, lima ketulan mampat berisi daun kering dipercayai ganja dianggarkan seberat 5.2 kilogram (kg) dirampas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak Asisten Komisioner R Ravi Chandran berkata, tangkapan awal membabitkan dua lelaki tempatan berusia 23 dan 24 tahun di belakang sebuah restoran di kawasan Meru Raya, di sini.

"Hasil soal siasat terhadap dua suspek berkenaan membawa kepada serbuan di sebuah rumah berhampiran lokasi tangkapan awal dan berjaya memberkas warga Thailand berusia 26 tahun selain merampas dadah syabu seberat 36.90 gram.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah yang dibuat dianggarkan bernilai RM59,380 berdasarkan pasaran semasa," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman tujuh hari sehingga 13 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 5:11 PM