BEBERAPA bintang Jerman dicalon untuk anugerah Ballon d’Or tahun ini.
BEBERAPA bintang Jerman dicalon untuk anugerah Ballon d’Or tahun ini.

Manchester: Pengurus Manchester United Louis van Gaal mendakwa Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo tidak layak memenangi anugerah Ballon d’Or tahun ini sebaliknya individu yang wajar dinobat pemain terbaik adalah pemain Jerman yang menjulang Piala Dunia di Brazil.

Ronaldo dan Messi menjadi pilihan selepas kedua-duanya mendominasi anugerah terbabit sejak lima musim lalu, Messi empat kali manakala Ronaldo diumum pemenang 2013.

Bintang Jerman seperti Toni Kroos, Philipp Lahm, Thomas Muller, Manuel Neuer, Bastian Schweinsteiger dan Mario Gotze turut dicalonkan dalam senarai 23 pemain dikeluarkan FIFA, tetapi Van Gaal yakin salah seorang daripada mereka individu paling layak untuk menang.

“Anda sepatutnya perlu memenangi sesuatu dan sebagai pemain bola sepak, kejayaan paling manis ialah menjulang Piala Dunia,” kata Van Gaal. “Saya harap anugerah itu diberikan kepada pemain Jerman kerana mereka berhak. Di Jerman, tahap Bundesliga juga tinggi.”

Pengurus Sepanyol Vicente Del Bosque percaya pemain Jerman berhak memenangi anugerah Ballon d’Or selepas menjulang Piala Dunia.

Van Gaal, 63, yang mengambil alih jawatan pengurus United musim panas lalu, hanya mengumpul 13 mata daripada 10 aksi pertamanya setakat ini.

Justeru, beliau terkejut apabila namanya dicalonkan jurulatih terbaik tahunan. “Memang sukar dipercayai nama saya dicalonkan kerana jika anda lihat keputusan dicapai United, ia agak pelik.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:04 AM
Digital NSTP Subscribe