AUBAMEYANG raih anugerah Pemain Terbaik Afrika.
AFP

Abuja: Bintang penyerang Borussia Dortmund Pierre-Emerick Aubameyang menolak tawaran dihulurkan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris ketika menyambut kejayaan menjulang anugerah Pemain Terbaik Afrika.

Pemain antarabangsa Gabon itu yang mendahului senarai penjaring terbanyak Bundesliga musim ini, berjaya menghalang Yaya Toure daripada memenangi anugerah berkenaan buat kali kelima berturut-turut apabila diumumkan pemenang, kelmarin.

“Saya akan terus kekal di Dortmund,” kata Aubameyang, 26, yang dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal, Manchester United serta Liverpool selepas menerima anugerah berkenaan dalam satu majlis di Abuja.

“Saya sangat gembira. Saya bukan seorang yang mudah menangis. Tetapi, kali ini saya tidak boleh menahan air mata.

“Apabila anda dicalonkan selain pemain seperti Yaya Toure atau Andre Ayew, pasti anda merasa sangat bangga apabila menang kerana calon lain juga pemain yang hebat.”

Pemain pertama Gabon yang memenangi anugerah itu berharap dapat sekali lagi dinobatkan pemenang tahun depan.

“Saya perlu bekerja keras untuk memenanginya sekali lagi. Sudah tentu saya memiliki skil yang membolehkan saya menang tapi ia memerlukan kesungguhan dan pengorbanan.”

Aubameyang yang meledak 18 gol sepanjang 17 penampilan Bundesliga musim ini, memperoleh 143 mata menerusi undian yang dibuat jurulatih Afrika, tujuh mata mengatasi bintang Manchester City, Toure. Penyerang Ghana dan Swansea City Andre Ayew di tangga ketiga dengan 112 mata.

Sementara itu, pemain Cameroon Gaell Enganamouit dinobatkan Pemain Wanita Terbaik Tahunan manakala TP Mazembe menerima anugerah Kelab Terbaik Tahunan.

Pemain tengah skuad Bawah 23 Tahun Nigeria Oghenekaro Etebo diiktiraf Pemain Paling Bernilai manakala bintang skuad Bawah 17 Tahun Nigeria Victor Osimhen (Pemain Remaja Terbaik Tahunan).

Charles Kumi Gyamfi (Ghana) dan Samuel Mbappe Leppe (Cameroon) menerima anugerah Legenda Afrika.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:05 AM