Kuala Lumpur: Seorang ahli akademik berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Dr Mohd Khairi Zawi (gambar) dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) yang baharu berkuatkuasa 15 Januari ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan berkata pelantikan berkenaan bagi menggantikan penyandang jawatan itu, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz yang berkhidmat di ISN sejak 2013.

Mohd Khairi, 52, yang kini berkhidmat sebagai Ketua Program Siswazah (Doktor Falsafah) Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempunyai kelulusan PhD pengkhususan dalam bidang Kemahiran Motor dan Biomekanik Sukan.

Warganegara Malaysia kelahiran Singapura itu pernah berkhidmat selama 17 tahun di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan bertanggungjawab mengasaskan Akademi Sukan serta Jabatan Pengajian Sukan di Fakulti Pendidikan universiti itu.

Menurut Khairy, menerusi beberapa proses temu duga, Mohd Khairi menunjukkan visi jelas untuk mentadbir ISN sebagai sebuah institut yang bakal menjadikan sains dan perubatan sukan sebagai elemen teras dalam pembangunan sukan berprestasi tinggi di Malaysia seperti diterap dalam Model Sukan Baru.

Mohd Khairi juga pernah menjadi juruperunding semakan Dasar Sukan Negara 1998, juruperunding Pelan Pembangunan Sukan Negeri Terengganu serta pelan Pembangunan Sepak Takraw 10 tahun Majlis Sukan Negeri Terengganu.

Beliau juga pernah menjadi anggota panel penggubal Kurikulum Kejurulatihan Sains Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) pada 2006-2008 serta anggota panel Jawatankuasa Khas Teknikal dan Saintifik bagi Program Gemilang 2006.

Dalam pada itu, Khairy berkata Dr Ramlan pula akan meneruskan khidmat di Kementerian Belia dan Sukan selaku penasihat kepada menteri serta pakar rujuk perubatan sukan.

Katanya, langkah ini dapat memberi pengkhususan kepada beliau untuk menumpu dalam penyelidikan bidang perubatan dan sains sukan sebagai satu daripada cabang utama Program Podium.

“Segala langkah ini diharap dapat memperkemas tadbir urus sukan di negara ini sekali gus menggerakkan satu budaya sukan berprestasi tinggi berteraskan sains dan perubatan sukan,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:08 AM