FOTO Safuri Kamarudin
Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Kedai runcit musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Cenerai, Kuala Pegang, di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian pada 1.20 pagi, semua barangan gagal diselamatkan kerana api marak dengan cepat.

Pengurusnya, Abd Hamid Ariffin, 62, berkata ketika kejadian dia berada di rumah kira-kira 50 meter dari kedai runcitnya.

Menurutnya, semua barangan tidak dapat diselamatkan kerana api marak dengan cepat, tetapi bersyukur kerana tiada kejadian buruk termasuk kemalangan jiwa berlaku.

"Kita menganggarkan kerugian kira-kira RM800,000 kerana semua barangan di kedai musnah dijilat api," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Baling Penolong Penguasa Bomba Mohd Sufian Alias berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.30 pagi.

Katanya, sembilan anggota bersama sebuah jentera dan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba mendapati api sedang marak dalam bangunan kedai runcit itu.

“Tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca dan jumlah kerugian sebenar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 1:07 PM